Rabu, 11 Disember 2019 | 3:32pm
EARNIE Yusnida Pahang menunjukkan ketumbuhan di belakang telinga anaknya, Ahmad Ziqrie Agmad Zamri. - Foto Roselan Ab Malek
EARNIE Yusnida Pahang menunjukkan ketumbuhan di belakang telinga anaknya, Ahmad Ziqrie Agmad Zamri. - Foto Roselan Ab Malek

Terpaksa pinjam ceti tampung kos pembedahan anak

TEMERLOH: “Saya terpaksa meminjam daripada ceti untuk menampung kos pembedahan anak yang menghidap ketumbuhan di belakang telinganya sejak empat tahun lalu.”

Earnie Yusnida Pahang, 41, dari Kampung Paya Keladan, di sini, mengaku buntu berdepan kekangan kewangan bagi membiayai perbelanjaan rawatan anaknya, Ahmad Ziqrie Ahmad Zamri, 16.

“Pada awalnya, saya mendapati ada ketumbuhan kecil di belakang telinga anak dan cuba merawat dengan cucuk menggunakan jarum serta sapukan minyak, namun ia semakin membesar.

“Saya kemudian membawa anak ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) tetapi doktor tidak dapat mengenal pasti dan terpaksa menunggu doktor pakar dari Kuantan datang,” katanya.

Earnie Yusnida berkata, berikutan ketumbuhan dideritai Ahmad Ziqrie semakin membesar dengan telinga bernanah dan berdarah, beliau mengambil keputusan membawa anaknya itu ke hospital swasta di Kuantan.

Susulan itu, katanya, doktor melakukan pembedahan kerana mendapati gegendang telinga Ahmad Ziqrie pecah, membabitkan kos rawatan RM17,000 dengan beliau terpaksa mengeluarkan semua simpanan dan menggadai barangan kemas bagi membiayainya.

Namun selepas setahun, beliau berkata, benjolan di belakang telinga Ahmad Ziqrie tumbuh balik dan semakin membesar sehingga perlu menjalani pembedahan kali kedua membabitkan kos sebanyak RM20,000.

“Saya terpaksa membuat pinjaman daripada ceti bagi menampung kos pembedahan itu kerana sudah kehabisan sumber kewangan.

“Doktor belum dapat mengesahkan punca ketumbuhan itu tetapi mengesyaki ia berkemungkinan adalah kanser dan perlu membuat pembedahan lagi dengan kos kira-kira RM30,000,” katanya.

Earnie Yusnida berkata, beliau kini hanya mampu mengalirkan air mata dan berdoa setiap hari kerana buntu mencari wang diperlukan itu berikutan hanya berniaga makanan di gerai di Desa Murni dengan pendapatan tidak seberapa.

Beliau berkata, suaminya, Ahmad Zamri Maarof, 45, pula bekerja di Indah Water Konsortium (IWK) dengan pendapatan RM1,400 dan perlu membayar sewa rumah, sewa gerai serta hutang ceti RM750 setiap bulan.

Malah, katanya, Ahmad Ziqrie yang juga anak sulung dari tiga beradik sudah tidak bersekolah sejak Tingkatan Dua kerana malu dengan keadaan ketumbuhan di belakang telinga.

“Sekarang, saya cuma mengharapkan simpati orang ramai agar dapat membantu anak menjalani pembedahan pada tahun depan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi Ahmad Zamri melalui talian 013-3406932.

Berita Harian X