Selasa, 17 Disember 2019 | 11:41am
Bungkusan Salad dicemari serangga perosak dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. - Foto ihsan MAQIS

MAQIS rampas 12 kotak salad tercemar

LANGKAWI: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 12 kotak salad dicemari serangga perosak di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL), di sini, Rabu lalu.

MAQIS dalam satu kenyataan memaklumkan hasil pemeriksaan mendapati salad seberat 90 kilogram bernilai RM1,608 itu dibawa masuk dari Australia.

“Sayur itu dirampas bagi siasatan lanjut selepas hasil pemeriksaan kakitangan MAQIS mengesan kehadiran serangga perosak. Ini bertujuan menghalang kemasukan serangga perosak yang boleh melumpuhkan industri pertanian negara.

Sebahagian 12 kotak mengandungi Salad dicemari serangga perosak dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. - Foto ihsan MAQIS

“Ini boleh menyebabkan pengusaha tanaman pertanian menanggung kerugian yang tinggi jika penyakit ini tidak dikawal,” katanya.

Katanya, mengimport produk pertanian dengan kehadiran perosak adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“Akta 728 diguna pakai bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan manusia, selain dapat mengawal kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian negara,” katanya.

Serangga perosak yang dikesan dalam bungkusan Salad yang dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. - Foto ihsan MAQIS

Berita Harian X