Khamis, 2 Januari 2020 | 2:48pm
Penduduk Orang Asli di Kampung Aring 5 memasang lampu khas disediakan JAKOA bagi menghalau gajah liar. - NSTP/Ramli Ibrahim
Penduduk Orang Asli di Kampung Aring 5 memasang lampu khas disediakan JAKOA bagi menghalau gajah liar. - NSTP/Ramli Ibrahim

JAKOA, penduduk pasang lampu halau gajah

GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli di Kampung Aring 5, dekat sini, hari ini, memasang 25 lampu bagi menghalau gajah yang kerap berkeliaran ke kawasan kediaman mereka.

Lampu khas disediakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu dipasang di batang pokok kayu sekitar kampung dan laluan ke kawasan tadahan bukit sejauh tiga kilometer dan berfungsi 24 jam.

Penghulu Orang Asli Kampung Aring 5, Raina Anjang berkata, kebimbangan penduduk berhubung ancaman gajah itu berkurangan selepas dipasang lampu berkenaan.

Katanya, ini kerana dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini mereka kerap diganggu sekumpulan tujuh gajah itu yang keluar daripada kawasan Taman Negara berhampiran.

Beliau berkata, selain mereka berdepan risiko serangan gajah itu, berlaku juga kerosakan tangki tadahan air bukit dan paip pecah dipijak binatang berkenaan.

“Kita sudah mengadakan beberapa kali gotong-royong membaiki tangki air rosak dan paip pecah selepas dipijak gajah terbabit.

“Keadaan bertambah teruk apabila sekumpulan tujuh gajah itu keluar berkeliaran sekitar kampung,” katanya ketika ditemui di Kampung Aring 5, hari ini.

Guru Agama Islam Orang Asli, Kampung Aring 5, Syaimi Abdul Hadi, 38, pula berkata, masalah gangguan gajah itu juga menghalang penduduk hadir belajar agama di surau setiap malam.

Katanya, ini kerana kerap mereka terserempak dengan gajah itu yang berkeliaran sekitar kampung disamping memusnahkan tanaman, khususnya pisang.

Dia berkata, mungkin dengan pemasangan lampu khas itu boleh menghalau gajah itu memasuki kampung dan memusnahkan tadahan air bukit.

“Langkah memasang lampu khas itu bagi menggantikan pemasangan pagar elektrik yang di janjikan JAKOA sebelum ini sebagai keselamatan penduduk.

“Kita harap usaha itu berjaya menghalang gajah supaya aktiviti penduduk waktu malam berjalan tanpa ada lagi gangguan gajah,” katanya.

Berita Harian X