Jumaat, 10 Januari 2020 | 2:43pm
Veerapan (tiga dari kiri) menerangkan kepada beberapa pemilik restoran mengenai tempat-tempat yang dikuatkuasakan larangan merokok pada Operasi Penguatkuasaan Larangan Merokok di Tempat Makan, hari ini. - Foto BERNAMA
Veerapan (tiga dari kiri) menerangkan kepada beberapa pemilik restoran mengenai tempat-tempat yang dikuatkuasakan larangan merokok pada Operasi Penguatkuasaan Larangan Merokok di Tempat Makan, hari ini. - Foto BERNAMA

342 notis dikeluarkan berkaitan larangan merokok

SEREMBAN: Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mengeluarkan sebanyak 342 notis larangan merokok terhadap pemilik, pengusaha tempat makan dan perokok di negeri ini, membabitkan nilai kompaun berjumlah RM81,900.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata notis itu dikeluarkan mengikut Seksyen 32B di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Katanya, sebanyak 6,893 lokasi di seluruh negeri diperiksa dalam tempoh sembilan hari penguatkuasaan dijalankan.

“Sebanyak 205 notis dikeluarkan kepada perokok kerana merokok di tempat makan dan sebanyak 82 notis dikeluarkan terhadap pemilik dan pengusaha tempat makan kerana kesalahan gagal mempamerkan tanda larangan merokok.

“Selain itu sebanyak 37 notis dikeluarkan kepada pemilik dan pengusaha tempat makan kerana kesalahan gagal memastikan tiada seorang pun merokok dalam premis mereka, manakala sebanyak 18 notis dikeluarkan kepada perokok bawah umur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Jabatan Kesihatan negeri di sini, hari ini.

Dua pelanggan gerai makan melihat risalah yang menerangkan tempat makan yang dikuatkuasakan larangan merokok pada Operasi Penguatkuasaan Larangan Merokok di Tempat Makan, hari ini. - Foto BERNAMA
Dua pelanggan gerai makan melihat risalah yang menerangkan tempat makan yang dikuatkuasakan larangan merokok pada Operasi Penguatkuasaan Larangan Merokok di Tempat Makan, hari ini. - Foto BERNAMA

Veerapan berkata, dalam penguatkuasaan yang dijalankan, tempat makan kategori restoran menunjukkan paling banyak menerima notis iaitu sebanyak 250 notis, gerai makan (69), medan selera (13) tempat makan terbuka (tujuh) dan kedai makan atas tanah lot (dua).

Tegasnya, trak makanan tidak terkecuali dikenakan tindakan jika didapati tidak mematuhi peraturan ditetapkan selain menjadi lokasi larangan merokok kerana kategori tempat makan.

“Pemilik dan pengusaha tempat makan diingatkan supaya memasang papan tanda larangan merokok mengikut spesifikasi ditetapkan oleh kerajaan bagi mengelak dikenakan tindakan,” katanya.

Sementara itu katanya, pihaknya menerima sebanyak 43 aduan iaitu 31 di Seremban dan dua di Port Dickson berkaitan larangan merokok di tempat makan.

Selain itu beliau kecewa kerana ada individu yang sengaja mencabar kerajaan apabila membuat rakaman video merokok di premis makanan seolah-olah memperlekeh usaha penguatkuasaan yang dijalankan.

“Namun saya difahamkan video itu dirakam di negeri lain. Tetapi jika ia berlaku di Negeri Sembilan, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X