Isnin, 27 Januari 2020 | 7:39pm
Kakitangan kesihatan memantau keadaan orang ramai dengan mengunakan mesin pengimbas suhu badan di pintu masuk Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam. - NSTP/Amran Hamid
Kakitangan kesihatan memantau keadaan orang ramai dengan mengunakan mesin pengimbas suhu badan di pintu masuk Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam. - NSTP/Amran Hamid

Keputusan ujian sampel kanak-kanak diketahui esok

BUKIT KAYU HITAM: Sampel cecair badan dua kanak-kanak perempuan China yang memiliki simptom coronavirus baharu (2019-nCoV) akan diketahui esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar dan Agama negeri, Datuk Dr Ismail Salleh, berkata setakat ini kedua-dua kanak-kanak berusia dua dan empat tahun itu masih dikuarantin di Hospital Sultanah Maliha (HSM) Langkawi.

Jelasnya, keadaan kedua-dua kanak-kanak itu masih dipantau dan diberi rawatan lanjut sehingga keputusan diketahui nanti.

Orang ramai memakai topeng penutup mulut dan hidung di pintu masuk Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam. - NSTP/Amran Hamid
Orang ramai memakai topeng penutup mulut dan hidung di pintu masuk Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam. - NSTP/Amran Hamid

“Mereka hanya mempunyai simptom demam, batuk dan selesema, namun kita tidak boleh mengesahkan mereka positif virus ini kerana ini bergantung kepada keputusan sampel yang diambil.

“Sampel ujian yang diambil ialah kahak di bahagian kerongkong dua kanak-kanak berkenaan,” katanya selepas meninjau alat pengimbas suhu haba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohd Fikri Ujang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad.

Media sebelum ini melaporkan, dua kanak-kanak itu bercuti di Langkawi sejak Jumaat lalu, bersama ibu bapanya sebelum dimasukkan ke wad HSM pada jam 1 tengahari semalam.

Sampel berkenaan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kuala Lumpur semalam.

Setakat ini, dua kanak-kanak perempuan yang berasal dari Guangdong, China itu hanya disyaki dijangkiti virus itu dan pihak hospital sedang membuat pemeriksaan lanjut terhadap simptom pada mereka.

Bagaimanapun, kedua-dua ibu bapa mereka tidak menunjukkan sebarang tanda berkaitan penyakit itu.

Dalam pada itu, Dr Ismail berkata, setakat ini 16,000 pelancong memasuki pintu negara melalui ICQS Bukit Kayu Hitam sejak 1 Januari lalu, dan dipantau menggunakan mesin pengimbas suhu.

Katanya, daripada jumlah itu, hanya 14 pelancong ialah warga China dan mereka didapati negatif 2019-nCoV serta tidak mempunyai simptom demam, batuk dan selesema.

“Selain itu, pelancong yang masuk melalui pintu masuk di ICQS Kota Putra, Durian Burung juga diperiksa secara manual untuk memastikan mereka tidak mempunyai masalah kesihatan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X