Isnin, 27 Januari 2020 | 10:26pm

Dua beranak bertemu selepas terpisah 35 tahun

PARIT BUNTAR: Tepat jam 2.50 petang semalam menjadi detik bersejarah bagi dua beranak apabila mereka bertemu semula selepas terpisah 35 tahun.

Abu Hasan Razali, 60, dari Sungai Betul Atas, Tanjung Piandang, di sini, berkata usaha mengesan dan mencari dua anaknya, Mohd Syukri, 37, dan Khairunnisah, 35, dibuat sejak mereka terpisah pada 1985.

Mengimbau peristiwa lalu, Abu Hasan memaklumkan, dia membawa isteri, Halimah Yon, 58, serta dua anak mereka berhijrah dari sini ke Serdang, Selangor, untuk mencari kerja tetap.

“Ketika mencari kerja di ibu kota, saya sedari isteri dan anak tiada dan sejak itu, langsung tidak bertemu mereka lagi. Bertahun-tahun saya mencari dengan pelbagai cara, tetapi tidak jumpa.

“Sehinggalah hari ini (semalam), kami dipertemukan semula dengan bantuan 1Malaysia Tow Truck Car Carrier (1MTTCC) dan kerjasama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parit Mat Alam, Titi Serong, Nazli Mohd,” katanya.

Abu Hasan yang bekerja kampung, juga sedang mencari Mohd Syukri dan berharap anaknya itu atau mereka yang mempunyai maklumat dapat menghubunginya di talian 019-5479649.

Sementara itu, Khairunnisah berkata, dia yang dijaga oleh ibu angkat, Kamsiah Md Said, 55, sejak usianya empat bulan, juga berusaha mencari bapa dan ibu kandungnya sekian lama.

“Dari kecil lagi, ibu angkat memaklumkan saya adalah anak angkat dan masih ada ibu serta bapa kandung. Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan untuk mencari mereka dan hasil bantuan applikasi WhatsApp melalui group 1MTTCC awal tahun ini, saya dan ayah berjaya dipertemukan semula.

“Alhamdulillah, pertemuan ini paling bermakna kerana hadir sebelum perkahwinan saya dengan tunang, Mohd Fazli Mohd Afendi, 35, tidak lama lagi.

“Selain bertemu ayah kandung, saya juga bertemu wali sah untuk majlis pernikahan saya nanti.

“Saya akan cuba menjejaki ibu dan abang kandung pula selepas ini. Berdasarkan maklumat rakan ahli 1MTTCC, abang dikatakan bekerja sebagai seorang anggota polis. namun tidak pasti di mana. Ibu pula langsung tiada khabar berita, kami langsung tak tahu di mana dia berada,” katanya.

Siti Khairul Nisak Abu Hassan (kanan) sebak memeluk bapanya, Abu Hassan Razali selepas dipertemukan semula di Kampung Parit Mat Alam, Titi Serong. - Foto BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X