Rabu, 29 Januari 2020 | 2:37pm
BABI tunggal yang menyerang empat penduduk Kampung Baru Simpang Pasir, Jeniang berjaya ditembak oleh anggota Perhilitan pagi tadi. NSTP/Ihsan Pembaca
BABI tunggal yang menyerang empat penduduk Kampung Baru Simpang Pasir, Jeniang berjaya ditembak oleh anggota Perhilitan pagi tadi. NSTP/Ihsan Pembaca

Babi serang penduduk ditembak mati

KUALA MUDA: Babi tunggal yang menyerang empat mangsa termasuk tiga beranak di Kampung Baru Simpang Pasir, Jeniang di sini berjaya ditembak mati, hari ini.

Haiwan liar itu berjaya ditembak kira-kira jam 11.30 pagi oleh kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kedah dalam operasi memburu di sekitar kawasan hutan berdekatan kampung berkenaan.

Pengarah PERHILITAN negeri, Jamalun Nasir Ibrahim, berkata operasi memburu haiwan itu bermula pada jam 8 pagi dianggotai lima pegawai termasuk 20 sukarelawan serta penduduk kampung.

Katanya, pasukan terbabit berjaya menembak tiga ekor babi termasuk babi tunggal yang menyerang mangsa kira-kira 50 meter dari lokasi rumah mangsa.

BABI tunggal yang menyerang empat penduduk Kampung Baru Simpang Pasir, Jeniang berjaya ditembak oleh anggota Perhilitan pagi tadi. NSTP/Ihsan Pembaca
BABI tunggal yang menyerang empat penduduk Kampung Baru Simpang Pasir, Jeniang berjaya ditembak oleh anggota Perhilitan pagi tadi. NSTP/Ihsan Pembaca

“Mangsa mengesahkan babi terakhir yang ditembak adalah babi tunggal yang menyerangnya berikutan terdapat tanda kecederaan di bahagian telinga dan kepalanya.

“Operasi memburu ditamatkan jam 12 tengah hari tadi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, penduduk Kampung Kuala Dahanan, Jeniang, Ayub Saad, 59, berkata dia sangat berharap usaha memburu babi dapat dilakukan secara berkala.

Katanya, lebih lima kampung di Jeniang menghadapi masalah babi berkeliaran di kawasan rumah mereka.

“Sejak beberapa tahun lalu, babi sentiasa datang ke halaman rumah dan menyondol pagar rumah, saya sudah lima kali membuat laporan kepada PERHILITAN.

“Mereka sudah datang pasang perangkap tapi tidak mengena, penduduk kampung pasti trauma selepas kejadian ini,” katanya ketika ditemui ketika menziarahi mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang semalam, haiwan liar itu dilaporkan menyerang seorang pekerja kedai makan, Ibrahim Sulong, 31, sehingga menyebabkan mangsa cedera di tangan dan kaki.

Babi itu kemudian menyerang seorang lagi penduduk, Shariff Yunus, 74, yang ketika itu sedang berehat di halaman rumahnya sebelum turut menyerang anaknya Shahrin, 47 dan Shamsul, 44, yang cuba membantu.

Berita Harian X