Rabu, 29 Januari 2020 | 11:27pm
Pintu masuk utama Taman Tema MAPS ditutup kepada orang ramai berkuatkuasa semalam. NSTP/Balqis Jazimah Zahari.

265 pekerja MAPS yang diberhentikan akan terima pampasan

IPOH: Semua 265 pekerja berstatus tetap dan kontrak taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) yang diberhentikan serta-merta akan diberi pampasan.

Pengarah Syarikat Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), Zadrul Insan Mustadza berkata, ia adalah susulan pengeluaran notis penutupan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) semalam.

Merujuk kepada notis penutupan berkenaan, katanya, keputusan dibuat oleh penerima dan pengurus yang dilantik selepas pertimbangan secara mendalam.

“Pekerja yang terkesan dengan tindakan ini akan diberikan pampasan mengikut garis panduan Akta Pekerja 1955.

“Pihak syarikat sudah mengambil tindakan proaktif dalam usaha untuk membantu pekerja dari pelbagai aspek,” katanya dalam satu kenyataan bersama seorang lagi Pengarah Syarikat, Yang Idros Yang Razali, di sini, malam tadi.

Zadrul Insan berkata, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) juga hadir memberi taklimat berkenaan pengurusan kewangan, manakala Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkesempatan untuk menjelaskan mengenai tuntutan Sistem Insuran Pekerjaan PERKESO (SIP).

“Selain itu, Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) juga turut sama hadir untuk memberikan bantuan kaunseling kepada pekerja.

“Pihak syarikat juga sudah bekerjasama dengan beberapa syarikat lain untuk menyediakan peluang pekerjaan baru kepada pekerja terutamanya dalam bidang makanan dan minuman, khidmat pelanggan dan penyelenggaraan.

Beliau berkata, kehadiran Sunway Lost World Of Tambun, Swiss-Garden, Hovid, Taiko Group dan PCBL membuka kaunter temuduga juga sangat dihargai.

“Terdapat juga beberapa syarikat mengiklankan kekosongan jawatan melalui poster dan dihebahkan kepada pekerja,” katanya sambil menambah sebarang kesulitan akibat penutupan MAPS sangat dikesali.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X