Sabtu, 8 Februari 2020 | 8:18am
Kakitangan Jabatan Perikanan Pahang Ahmad Faizal Abdullah (Baju biru) melihat pukat hantu yang sebelum ini terdapat diperairan Pulau Tioman.Aktiviti memungutnya dilakukan penyelam tempatan. - Foto Mohd Rafi Mamat
Kakitangan Jabatan Perikanan Pahang Ahmad Faizal Abdullah (Baju biru) melihat pukat hantu yang sebelum ini terdapat diperairan Pulau Tioman.Aktiviti memungutnya dilakukan penyelam tempatan. - Foto Mohd Rafi Mamat

Pukat hantu memberi ancaman kepada penyu

PULAU TIOMAN: Dua penyu dewasa jenis agar mati tersangkut pada pukat hantu yang terdapat di perairan Pulau Tioman, tahun lalu.

Pegawai Perikanan Jabatan Perikanan Pahang Cawangan Taman Laut dan Sumber, Mohamad Anuar Roslan, berkata penyu yang mati ditemui tersangkut pada pukat hantu bersaiz besar yang berada di dasar laut.

Katanya, penyu akan mati selepas beberapa jam tidak dapat timbul ke permukaan laut untuk bernafas, reptilia berkenaan tersangkut pada pukat hantu ketika mencari makan di kawasan banyak terdapat batu karang yang menjadi tempat ikan membiak.

Katanya, pukat hantu kini menjadi ancaman utama pada hidupan laut terutama penyu dan hampir setiap tahun terdapat kes kematian membabitkan reptilia itu di perairan Pulau Tioman.

“Perbuatan membuang pukat lama dan koyak ke laut oleh sebilangan nelayan mengundang munculnya pukat hantu adalah istilah yang biasa digunakan Jabatan Perikanan dan beberapa agensi lain.

“Pukat hanyut dan pukat tunda yang ditinggalkan nelayan antara penyumbang kehadiran pukat hantu,” katanya, di sini hari ini.

Beliau yang bertanggungjawab menguruskan Taman Laut Pulau Tioman berkata, sepanjang tahun usaha memusnahkan pukat hantu dilakukan pihaknya termasuk agensi mengusahakan aktiviti menyelam untuk pelancong di pulau peranginan bertaraf antarabangsa ini.

Mohamad Anuar menambah, kawasan terumbu karang yang menarik terdapat di Pulau Tioman ini akan musnah sekiranya usaha membuang pukat hantu tidak dilakukan dengan serius secara berterusan.

Katanya, pelancong yang sebelum ini melakukan aktiviti menyelam tidak akan berbuat demikian selepas ini sekiranya terdapat banyak pukat hantu yang menyebabkan kemusnahan pada batu karang termasuk hidupan laut.

“Setiap tahun jabatan mengadakan kempen kesedaran terhadap bahayanya pukat hantu bagi memastikan nelayan tidak bertindak membuang pukat mereka ke dalam laut.

“Selain itu, setiap tahun kita turut menganjurkan program memusnahkan pukat hantu dengan pembabitan pelbagai pihak seperti pengusaha aktiviti menyelam dan penduduk setempat termasuk pelancong,” katanya yang berharap masalah pukat hantu dapat diselesai secara berperingkat.

Berita Harian X