Rabu, 12 Februari 2020 | 2:15pm
Adly Zahari mengikuti penjelasan syarikat perunding projek Empangan Jerneh di Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina dekat Alor Gajah.- Foto Hassan Omar
Adly Zahari mengikuti penjelasan syarikat perunding projek Empangan Jerneh di Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina dekat Alor Gajah.- Foto Hassan Omar

Operasi benih awan akan dilakukan lagi bergantung kepada cuaca

ALOR GAJAH: Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan tadahan hujan di negeri ini akan diteruskan tetapi bergantung kepada pelbagai faktor, terutama cuaca dan beberapa aspek lain yang memerlukan ia segera dilaksanakan.

Ketua Menteri, Adly Zahari menjelaskan, kerajaan negeri mengkaji kesesuaian untuk melaksanakan OPA dan ia amat bergantung kepada keadaan cuaca, tiupan angin dan seumpamanya bagi membantu proses penghasilan hujan, terutama di Empangan Durian Tunggal, di sini.

"Kita lihat kalau ada kesesuaian, kita akan buat lagi OPA dan ia adalah inisiatif kerajaan negeri untuk meningkatkan semula paras air dalam empangan itu.

"Alhamdulillah, pada hari pertama kita buat OPA, ada hujan tetapi bukan di kawasan tadahan hujan atau sekitar empangan itu," katanya ditemui ketika meninjau lokasi cadangan pembinaan Empangan Jerneh dan sumber air di sekitar Sungai Rembau dan Sungai Linggi di Lubok Cina, dekat sini hari ini.

Beliau menghabiskan kira-kira tiga jam meninjau lokasi berkenaan bagi mengenal pasti pelbagai aspek yang berkaitan dengan usaha meningkatkan sumber air di negeri ini, terutama mengenai penyaluran air dari beberapa sungai di Negeri Sembilan ke empangan berkenaan.

Selain itu, kerajaan negeri juga ingin memastikan projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di Kuala Linggi, dekat sini mempunyai sumber bekalan air dari Sungai Rembau dan Sungai Linggi.

Adly berbincang mengenai sumber air ketika melawat beberapa lokasi di sekitar Lubok Cina, Alor Gajah.- Foto Hassan Omar
Adly berbincang mengenai sumber air ketika melawat beberapa lokasi di sekitar Lubok Cina, Alor Gajah.- Foto Hassan Omar

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan; Timbalan Pengerusi Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB), Datuk Halim Bachik dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

OPA yang dilaksanakan dua hari di Melaka mulai Ahad lalu gagal mencapai hasil seperti yang diharapkan berikutan angin kuat.

Ia menyebabkan pembentukan awan yang mengandungi air menjadi sukar manakala awan yang berpotensi ada hujan yang berkumpul di Gemas, Negeri Sembilan tidak bergerak ke negeri ini.

Kekurangan air di Empangan Durian Tunggal di sini dan Empangan Jus serta Empangan Asahan di Jasin menyebabkan kerajaan negeri melaksanakan catuan air fasa pertama mulai 29 Januari lalu hingga 9 Februari lalu dan disambung dengan fasa kedua dari Isnin lalu hingga 29 Februari ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X