Khamis, 13 Februari 2020 | 12:12pm

Paras air Sungai Golok melebih tahap berjaga-jaga

RANTAU PANJANG: Paras air Sungai Golok melebihi paras berjaga-jaga berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat jam 11.30 pagi, paras air Sungai Golok pada bacaan 7.16 meter sekali gus melepasi paras berjaga-jaga iaitu tujuh meter.

Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail, berkata pihaknya sudah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan memandangkan cuaca yang tidak menentu.

“Namun begitu, keadaan di sini masih terkawal biarpun cuaca hujan setiap hari sejak kebelakangan ini. Hasil tinjauan kami juga masih belum ada kawasan yang ditenggelami air.

“Biasanya, kawasan rendah yang terawal dinaiki air di kawasan ini seperti di Kampung Lanchang, Kampung Jejawi, Kampung Putat Tujuh dan Kampung Tasek Bakong, di sini.

“Penduduk diminta untuk sentiasa bersedia dan mengambil tindakan awal mengemas dan menyimpan dokumen penting bagi menghadapi banjir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Imran berkata, paras berjaga-jaga bagi Sungai Golok adalah tujuh meter manakala paras amaran lapan meter dan bahaya pada paras sembilan meter.

Bagaimanapun, penduduk akan diarah berpindah ke tempat lebih selamat apabila paras air mencapai 10.4 meter.

“Keadaan cuaca yang mendung dan hujan lebat tanpa henti boleh meningkatkan lagi paras air sungai menyebabkan ia boleh melimpah dan banjir pada bila-bila masa.

“Namun sekarang ini semuanya masih terkawal selain semua jalan utama ke pekan ini masih boleh dilalui.

“Masyarakat juga dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan paras air melalui platform yang boleh dipercayai bagi mengelak daripada informasi yang tidak sahih,” katanya.

Paras air Sungai Golok melebihi paras berjaga-jaga berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu. - NSTP/Syaherah Mustafa
Paras air Sungai Golok melebihi paras berjaga-jaga berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu. - NSTP/Syaherah Mustafa
Berita Harian X