Sabtu, 15 Februari 2020 | 6:10pm

Helang serang penduduk, ditembak

PARIT BUNTAR: Seekor burung helang yang dikatakan bertindak liar menyerang beberapa penduduk di kawasan Tanjung Piandang, di sini, berjaya ditembak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kerian, Leftenan (PA) Noor Hafizoh Ismail, berkata terdahulu pihaknya menerima panggilan pada jam 1.04 tengah hari dari seorang penduduk di Tanjung Piandang yang memaklumkan kejadian itu.

Katanya, sejurus menerima panggilan, sebanyak empat anggotanya dikejarkan ke lokasi bagi membuat pemantauan.

”Sewaktu pemantauan dibuat benar terdapat helang di lokasi namun sewaktu anggota memantau, tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

”Berikutan, pihak kami tidak mempunyai peralatan yang sesuai umtuk menangkap burung ini, kes dirujuk kepada pihak PERHILITAN untuk tindakan lanjut.

”Difahamkan helang itu berjaya ditembak oleh pihak PERHILITAN dan dibawa ke pejabat mereka untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi media.

Dalam pada itu, terdapat maklumat mengatakan, seorang kanak-kanak mengalami kecederaan di pipi akibat dari serangan burung helang itu.

Difahamkan, helang berkenaan bertindak liar berikutan terdapat mata kail pada badan helang itu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X