Ahad, 16 Februari 2020 | 8:27am
Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua' adzam Shah Sultan Ahmad Shah (tiga dari kanan) danTimbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Datuk Samsu Anuar Nawi (Dua dari kanan) menanam pokok Merawan Siput Jantan pada program penanaman pokok bagi pemulihan Hutan Simpan Kekal Sungai Ichat. Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua' adzam Shah Sultan Ahmad Shah (tiga dari kanan) danTimbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Datuk Samsu Anuar Nawi (Dua dari kanan) menanam pokok Merawan Siput Jantan pada program penanaman pokok bagi pemulihan Hutan Simpan Kekal Sungai Ichat. Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

Tanam 1,500 pokok di Sungai Ichat

CAMERON HIGHLANDS: Sebanyak 1,500 pokok spesies Damar Minyak dan Merawan Siput Jantan ditanam 300 sukarelawan dalam masa tiga jam pada program penanaman pokok bagi pemulihan Hutan Simpan Kekal Sungai Ichat, di sini semalam.

Program penanaman fasa kedua di kawasan seluas tiga hektar itu membabitkan bekas tapak kebun sayur yang diteroka secara haram.

Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Datuk Samsu Anuar Nawi, berkata bagi mengekalkan kualiti sumber air di tadahan Kuala Terla, kerajaan negeri tahun lalu membuat keputusan mewartakan kawasan seluas 121.12 hektar sebagai Hutan Simpan Kekal Sungai Ichat.

Katanya, sebanyak 17,610 pokok pelbagai spesies seperti Damar Minyak, Meranti Rambai Daun, Merawan Siput Jantan dan Gerok ditanam secara berperingkat oleh kakitangan JPNP dan kontraktor sebelum ini membabitkan kawasan seluas 25.75 hektar.

“Selain memastikan bekalan sumber air bersih dapat diterima penduduk setempat program penanaman pokok di bekas tapak kebun sayur dan bunga di Sungai Ichat ialah untuk menghijaukan semula kawasan terbabit.

“Selepas ini aktiviti menanam pokok akan terus dilakukan secara berperingkat bagi memastikan keseluruhan kawasan bekas kebun sayur dan bunga haram di Sungai Ichat kembali menghijau,” katanya, di sini semalam.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program penanaman pokok bagi pemulihan Hutan Simpan Kekal Sungai Ichat yang disempurnakan Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’ adzam Shah Sultan Ahmad Shah.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor.

Pada program berkenaan seramai 300 sukarelawan membabitkan beberapa pertubuhan bulan kerajaan (NGO) seperti Majlis Belia Negeri Pahang, pelajar sekolah dan universiti serta penduduk setempat bergotong-royong menanam pokok.

Samsu Anuar berkata, difahamkan selepas ini beberapa NGO dan universiti berminat menyertai program menanam pokok secara gotong-royong di Sungai Ichat.

Katanya, jabatan itu akan membantu menyediakan tempat dan kemudahan lain.

Berita Harian X