Sabtu, 22 Februari 2020 | 10:10pm
Gambar budak lelaki warga Palauh memegang pistol sambil meminta sedekah di kawasan lampu isyarat Bandar Sri Perdana, tular. - Foto ihsan Pembaca
Gambar budak lelaki warga Palauh memegang pistol sambil meminta sedekah di kawasan lampu isyarat Bandar Sri Perdana, tular. - Foto ihsan Pembaca

Dalang gambar budak bergari disiasat

LAHAD DATU : Dua anggota polis berpangkat Koperal dipercayai dalang kejadian gambar budak warga Palauh bergari tular di media sosial.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass, berkata pihaknya juga sudah mengenalpasti anggota polis yang bertanggungjawab menularkan gambar berkenaan dan akan mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka.

Menurutnya, kejadian itu membabitkan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Lahad Datu berpangkat Koperal.

“Hasil siasatan mendapati, perbuatan itu dilakukan dengan tujuan memaklumkan rakannya seorang Koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

“Anggota bertugas di IPD Lahad Datu itu ingin memberitahu rakannya bahawa budak berkenaan sudah ditangkap dan memberikan gambar berkenaan.

“Rakannya di Keningau berkenaan kemudiannya menularkan gambar berkenaan kepada awam,” katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.

Zaini berkata, pihak polis memandang serius mengenai perkara ini kerana ia menyalahi undang-undang.

“Perbuatan itu juga tidak mengikut prosedur yang sudah ditetapkan mengikut Seksyen 15 Kanun Prosedur Jenayah dan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) A120.

“Justeru itu, saya sudah mengarahkan supaya siasatan tatatertib dijalankan terhadap kedua-dua anggota terbabit,” katanya.

Terdahulu, pada Rabu lalu, satu gambar budak lelaki warga Palauh meminta sedekah di lampu isyarat Bandar Sri Perdana, sambil mengacukan pistol mainan kepada pengguna jalan raya tular di laman sosial.

Susulan itu, polis menangkap budak lelaki itu bersama 14 lagi individu lain kerana didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah diikuti gambar budak berkenaan dengan tangan bergari sambil memegang pistol tular di media sosial.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X