Jumaat, 28 Februari 2020 | 6:43pm
Laporan dalam BH Online hari ini.
Laporan dalam BH Online hari ini.

2 laporan kes terpencil kencing tikus

IPOH: Jabatan Kesihatan Perak mengesahkan menerima dua laporan kes terpencil berkaitan leptospirosis atau kencing tikus di daerah Batang Padang dan bukan di tiga lokasi pusat rekreasi seperti yang ditularkan di media sosial.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, pihaknya menerima makluman berhubung satu memo daripada sebuah agensi yang tular di media sosial mengenai amaran wabak leptospirosis di kawasan rekreasi air sekitar Daerah Batang Padang berkenaan.

“Pada tahun 2020, sehingga 22 Februari 2020 (minggu epid kelapan), sebanyak dua kes disahkan leptospirosis dilaporkan dari daerah Batang Padang.

“Kedua-dua kes ini tinggal di kawasan yang berhampiran dengan Kuala Woh. Kes-kes ini adalah kes sporadik (kes terpencil),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Ding berkata, siasatan lanjut juga mendapati tiada wabak leptospirosis yang dilaporkan berlaku di ketiga-tiga lokasi yang dinyatakan dalam memo tular terbabit sepanjang tahun 2019 dan 2020.

Beliau berkata, jabatan akan sentiasa memantau keadaan kesihatan persekitaran serta bekerjasama dengan jabatan dan agensi berkaitan mengawal dan mencegah jangkitan leptospirosis.

Terdahulu, media melaporkan tiada mana-mana pusat rekreasi di Perak yang mencatatkan kes leptospirosis termasuk tiga lokasi yang ditularkan di media sosial sejak semalam.

Jabatan Perhutanan Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan kes itu tidak berlaku di Taman Eko Rimba Lata Kinjang, Lata Iskandar dan Kuala Woh di Tapah.

Berita Harian X