Selasa, 10 March 2020 | 11:23am
ANTARA sukarelawan yang mengutip sampah di kawasan jeti Tasik Muda, Gubir, Sik, semalam. NSTP/Ihsan MNS
ANTARA sukarelawan yang mengutip sampah di kawasan jeti Tasik Muda, Gubir, Sik, semalam. NSTP/Ihsan MNS

Tadahan air Ulu Muda dicemari sampah plastik

ALOR SETAR: Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) kecewa, apabila kawasan tadahan air Ulu Muda di negeri ini, dicemari sampah plastik yang terlalu banyak hingga dikhuatiri mengancam ekosistem tasik.

Presiden MNS, Profesor Dr Ahmad Ismail, berkata ketika gotong royong membabitkan 50 sukarelawan persatuan dan beberapa agensi termasuk Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) serta Lembaga Pertanian Kemajuan Muda (MADA) semalam, sebanyak 500 kilogram atau setengah tan sampah dikutip dalam lingkungan 200 meter sahaja.

PRESIDEN Persatuan Pecinta Alam Malaysia (MNS), Profesor Dr Ahmad Ismail (kiri) menunjukkan sampah yang dikutip di kawasan jeti Tasik Muda, Gubir, Sik, semalam. NSTP/Ihsan MNS
PRESIDEN Persatuan Pecinta Alam Malaysia (MNS), Profesor Dr Ahmad Ismail (kiri) menunjukkan sampah yang dikutip di kawasan jeti Tasik Muda, Gubir, Sik, semalam. NSTP/Ihsan MNS

Katanya, sampah yang kebanyakan botol plastik itu dikutip di kawasan jeti Tasik Muda, Gubir, Sik.

“Musim kemarau panjang dan kurangnya taburan hujan sepanjang tahun akan menyebabkan kawasan tadahan air ini terkesan ditambah pula dengan pencemaran yang sekali gus akan menjejaskan sumber air untuk keperluan domestik dan pertanian.

“Kawasan hutan Simpan Ulu Muda seharusnya dijaga dan menjadi taman negeri untuk keperluan biodiversiti dan bekalan air masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, penggunaan plastik yang berleluasa adalah disebabkan masyarakat yang tidak faham kesan pencemaran plastik kepada alam sekitar.

Katanya, pengunjung di kawasan jeti berkenaan seharusnya membawa balik sampah yang dibawa atau boleh melakukan kerja sukarela mengutip sampah di kawasan terbabit.

“MNS mencadangkan ada sukarelawan setiap minggu mengutip sampah dan mengenakan peraturan pengunjung membawa balik sampah keluar dari kawasan hutan. Aktiviti sukarelawan itu memadai hanya satu atau dua jam.

“Dalam masa yang sama, pihak berkaitan juga sepatutnya memanjangkan perkhidmatan mengambil sampah di kawasan terbabit bagi mengurangkan masalah pencemaran sampah,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X