Khamis, 12 March 2020 | 10:13pm
Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil. - Foto NSTP
Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil. - Foto NSTP

COVID-19: Umat Islam perlu patuhi saranan kerajaan - Mufti Melaka

MELAKA: Kerajaan negeri melaksanakan beberapa langkah seperti yang disarankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Kementerian Kesihatan bagi mencegah penularan COVID-19.

Mufti negeri, Datuk Abdul Halim Tawil, berkata antaranya memendekkan khutbah solat Jumaat, menasihatkan orang ramai berwuduk di rumah dan pihak masjid wajib menyediakan cecair pembasmi kuman (hand sanitiser) serta penutup mulut.

“Situasi semasa COVID-19 di Melaka adalah terkawal, justeru itu tiada keuzuran syar’ie dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini untuk tidak menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid.

“Bagaimanapun mereka yang mempunyai simptom COVID-19 tidak perlu hadir solat Jumaat kerana termasuk dalam golongan orang sakit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata sekiranya wabak itu merebak tanpa kawalan di negeri ini, solat Jumaat boleh tidak dilakukan, tetapi wajib digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, rakyat Melaka yang menghadiri ijmak tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu, diminta segera menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah bagi melakukan saringan atau pemeriksaan mencegah penularan COVID-19.

Ia susulan terdapat seorang daripada peserta program itu disahkan positif wabak berkenaan.

“Umat Islam juga disaran untuk memperbanyakkan doa dan solat hajat memohon perlindungan Allah SWT daripada penularan wabak COVID-19 dan semoga rakyat Melaka dipelihara dan dilindungi daripada wabak itu,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X