Isnin, 16 March 2020 | 4:23pm
PROF Dr Azizan Abdullah (tengah) menyembur cecair pembasmi kuman ke tangan Izyan Nabilah Ismail, 19 (kiri) dan rakan ketika hadir ke Program Zero Hunger 2020 di UiTM Machang. - Foto Nor Amalina Alias
PROF Dr Azizan Abdullah (tengah) menyembur cecair pembasmi kuman ke tangan Izyan Nabilah Ismail, 19 (kiri) dan rakan ketika hadir ke Program Zero Hunger 2020 di UiTM Machang. - Foto Nor Amalina Alias

COVID-19: UiTM nak keluarkan sendiri cecair basmi kuman

MACHANG: Universiti Teknologi Mara (UiTM) merancang mengeluarkan sendiri cecair pembasmi kuman berikutan penularan COVID-19.

Pembuatan cecair itu akan dijalankan dengan kerjasama Fakulti Farmasi dan Fakulti Sains Kesihatan dalam tempoh terdekat.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Prof Dr Azizan Abdullah, berkata tindakan itu diambil berikutan cecair pembasmi kuman semakin berkurangan dalam pasaran.

Katanya, memandangkan UiTM mempunyai pakar dalam bidang makmal dan perubatan, pihaknya akan menjalankan kajian pembuatan cecair itu mengikut bancuhan sendiri.

“Kita akan segerakan penghasilan cecair pembasmi kuman ini dan akan manfaatkan di dalam kampus dan kegunaan warga UiTM.

“Buat masa ini, kita juga sediakan cecair pembasmi kuman yang dibeli di pasaran untuk ditempatkan di kawasan strategik dan keluar masuk untuk galakkan orang yang berurusan di universiti mengambil langkah pencegahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media selepas merasmikan Program Zero Hunger 2020 di UiTM Machang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Rektor UiTM Machang, Prof Madya Dr Zulkifli Mohamed dan Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri (KPPN) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kelantan, Mohd Asri Mat Hassan.

Azizan berkata, selain itu UiTM turut menangguhkan semua acara anjuran universiti dan menjalankan aktiviti kuliah secara atas talian di semua 13 kampus UiTM bermula hujung Februari lalu bagi mengatasi penyebaran coronavirus.

Surat pekeliling sudah dikeluarkan dan dihantar kepada rektor semua kampus dan antara aktiviti yang ditangguhkan adalah lawatan akademik, penganjuran sukan seperti perlawanan bola sepak piala pegawai pembangunan dan sukan kolej (SUKOL).

“Semua aktiviti ini akan dilaksanakan selepas melihat kepada situasi COVID-19 dan kita sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan maklumat daripada Kementerian Kesihatan,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X