Isnin, 16 March 2020 | 10:42pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Tiada solat jemaah, Jumaat di masjid, surau Johor

JOHOR BAHRU: Tiada solat fardu berjemaah serta Jumaat di surau dan masjid di Johor untuk tempoh 10 hari bermula solat Subuh, Selasa ini hingga Solat Isyak, 26 Mac nanti.

Dalam kenyataan bersama Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad; Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Md Rofiki Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Johor, Datuk Mohd Noh Ibrahim, berkata Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, memperkenankan perkara itu berdasarkan Fasal 57 (A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Fasal 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor Tahun 2003 sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

“Dalam tempoh itu semua masjid dan surau di negeri ini hendaklah melaksanakan operasi pembersihan dan nyahkuman sebagai langkah kawalan bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.

“Pelanjutan atau penamatan tempoh 10 hari berkenaan adalah tertakluk sepenuhnya kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

“Bagaimanapun, laungan azan dan pelaksanaan solat fardu lima waktu di masjid dan surau hendaklah dilakukan oleh tiga pegawai masjid iaitu imam, bilal dan noja selepas melepasi saringan pemeriksaan kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah.

“Bagi memohon perlindungan Allah dari segala wabak dan bencana serta penularan COVID-19 berakhir, maka Qunut Nazilah hendaklah dibaca oleh semua rakyat Johor terutamanya semua imam di dalam solat lima waktu,” kata kenyataan itu.

Menerusi kenyataan itu juga, semua perhimpunan untuk tujuan aktiviti agama seperti kuliah, ceramah dan seumpamanya di semua premis masjid dan surau hendaklah ditangguhkan sepanjang tempoh dinyatakan di atas.

“Sekiranya berlaku kematian akibat COVID-19, maka pengurusan jenazah orang Islam hendaklah diuruskan sebagaimana hukum pengurusan jenazah orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti virus Ebola di Malaysia sebelum ini,” kata kenyataan itu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X