Khamis, 26 March 2020 | 10:55am
Timbalan Ketua Umno Bahagian Sembrong, Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid (kiri) menyerahkan sumbangan Topeng Muka dan makanan kepada wakil petugas yang bertugas di pusat kuarantin di Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Kluang- NSTP/ Adnan Ibrahim.
Timbalan Ketua Umno Bahagian Sembrong, Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid (kiri) menyerahkan sumbangan Topeng Muka dan makanan kepada wakil petugas yang bertugas di pusat kuarantin di Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Kluang- NSTP/ Adnan Ibrahim.

500 keluarga terima bekalan makanan asas

KLUANG: Kira-kira 500 keluarga di dalam Parlimen Sembrong terdiri daripada golongan asnaf serta keluarga kurang berkemampuan menerima bekalan makanan asas yang disampaikan secara berperingkat mulai hari ini.

Selain itu, seramai 60 keluarga masyarakat Orang Asli di Pekan Kahang sudah dikenal pasti berkelayakan untuk menerima bantuan serupa yang akan diagihkan melalui Ketua Cawangan masing-masing dalam masa terdekat ini.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Sembrong, Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid, berkata selain sumbangan daripada pihaknya selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, RVidyananthan juga akan mengusahakan bantuan serupa bagi membolehkan semua keluarga terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapatkan pembelaan.

Katanya, semua bantuan ini dijangka akan dapat diserahkan sepenuhnya kepada penerima selewat-lewatnya hujung minggu ini.

“Kami amat memahami kesusahan rakyat khususnya di Parlimen Sembrong dan beberapa alternatif lain akan diusahakan bagi membolehkan semua pihak terjejas diberikan perhatian sewajarnya.

“Apa yang diharapkan hanyalah mereka perlu berhubung secara langsung dengan Ketua Cawangan Umno masing-masing agar tidak tercicir daripada menerima barang-barang yang di sumbangkan nanti,” katanya.

Abdul Ghani berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan topeng muka, sarung tangan serta makanan kepada kira-kira 15 tempat petugas barisan hadapan di Daerah Kluang hari ini.

Menurut Abdul Ghani, pihaknya juga mengagihkan kira-kira 4000 keping topeng muka kepada petugas barisan hadapan yang menjalankan tugas di penempatan penugasan masing-masing.

Berita Harian X