Khamis, 26 March 2020 | 12:20pm

MAIPs tambah dana bantuan RM1.08 juta

KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan dana bantuan tambahan sebanyak RM1,086,200 kepada golongan yang terjejas pendapatan dan asnaf di negeri ini berikutan perlanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, berkata peruntukan itu diperkenankan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dengan RM765,000 daripadanya adalah khusus bagi mereka yang terjejas dan terdesak akibat tiada sumber pendapatan sepanjang tidak bekerja dalam tempoh PKP.

Katanya, peruntukan terbabit akan disalurkan menerusi ‘Program Bantuan Khas Kecemasan Masjid MAIPs’ yang bakal diagihkan kepada 102 kariah Masjid di seluruh Perlis dalam masa terdekat.

“Mereka yang mempunyai keperluan berkenaan boleh menghubungi amil di kariah masing-masing di seluruh negeri ini bermula 30 Mac 2020 ini.

“Peruntukan ini disediakan khusus untuk mereka meskipun sebelum ini mereka tidak pernah disenaraikan dalam kalangan penerima sumbangan MAIPs,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mohd Nazim berkata, baki sebanyak RM321,200 lagi adalah bantuan tambahan kepada 1,606 penerima ‘Bantuan Sara Hidup Berkala MAIPs’ di bawah inisiatif ‘Bantuan Khas Rangsangan Asnaf MAIPs’ ekoran penularan wabak COVID-19.

Katanya, beliau mengalukan sebarang kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) mengoptimumkan lagi manfaat kepada mereka yang terjejas akibat lanjutan tempoh pelaksanaan PKP.

“Setakat ini beberapa program pengagihan sumbangan sedang giat dijalankan menerusi Pertubuhan Perlis Volunteer Action Community (PVAT) di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis.

“Ini bagi mempercepatkan lagi pengagihan bantuan khususnya makanan kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh lanjutan pelaksanaan PKP hingga 14 April ini selepas mengambil kira situasi semasa akan penularan wabak Covid-19.

Berita Harian X