Khamis, 26 March 2020 | 4:50pm
Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar.
Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar.

MAIS salur bantuan kepada barisan hadapan

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyalurkan hasil kutipan terkumpul Tabung Prihatin COVID-19 sebanyak RM77,371 kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memerangi COVID-19.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar, berkata melalui wang itu, pelbagai barang disumbangkan termasuk kelengkapan perubatan, makanan kering serta keperluan am.

“Bantuan kelengkapan perubatan seperti Personal Protective Equipment (PPE) dan penutup hidung dan mulut disalurkan mengikut kepada keperluan di hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah di seluruh Negeri Selangor.

“Sumbangan berbentuk makanan kering dan barang keperluan am disalurkan petugas kesihatan hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

“Bantuan makanan juga diberikan kepada keluarga pesakit COVID-19 malah MAIS turut menyediakan bantuan makanan kering seperti beras, minyak masak dan lain-lain keperluan kepada rumah anak-anak yatim dan pelarian Rohingya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shahir berkata, usaha yang dilaksanakan itu adalah gerak kerja bersepadu di antara MAIS bersama agensi dan anak syarikat MAIS iaitu Lembaga Zakat Selangor (LZS), Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).

“Seperti sedia maklum, LZS juga memperuntukkan RM15 juta pada 21 Mac lalu dalam membantu usaha kebajikan ini.

“Bagi permohonan melalui LZS, orang ramai boleh terus menghubungi talian hotline 1-300-88-4343 atau https://www.zakatselangor.com.my/bkc19/, ” katanya.

Sehubungan dengan itu katanya, MAIS bersama agensi dan anak syarikat MAIS akan terus memperkukuhkan jentera dalam menyalurkan bantuan terutama kepada barisan hadapan dalam memerangi COVID-19 ini.

“MAIS menyeru kepada masyarakat awam untuk terus menyalurkan sumbangan terus ke Akaun Bank Islam MAIS 12038010134961 atau boleh layari aplikasi atas talian di http://fpx.mais.gov.my/epay/sedekah.php.

“ MAIS menzahirkan salam takziah kepada mangsa korban COVID-19, semoga penularan wabak ini berjaya ditangani dan diakhiri dengan segera serta sumbangan yang diberikan akan mendapat ganjaran oleh Allah SWT,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X