Ahad, 29 March 2020 | 9:33am
Sebahagian 14 individu yang ditahan polis akibat melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Mukim Kuah dan Padang Matsirat, Langkawi. - Foto ihsan Polis
Sebahagian 14 individu yang ditahan polis akibat melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Mukim Kuah dan Padang Matsirat, Langkawi. - Foto ihsan Polis

COVID-19: 14 individu ditahan langgar PKP

LANGKAWI: Seramai 14 individu termasuk enam remaja ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Mukim Kuah dan Padang Matsirat, di sini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata individu berusia antara 17 dan 43 itu ditahan dalam tempoh tiga jam mulai 5.30 petang semalam.

“Tangkapan pertama membabitkan dua individu daripada sekumpulan lelaki yang berkumpul di tepi jalan di Kampung Teluk Yu pada jam 5.30 petang.

“Seterusnya, enam lelaki lagi ditahan juga di tepi jalan menghala ke Taman Nilam pada 6.30 petang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, tangkapan ketiga pada 6 petang pula membabitkan lima lelaki yang sedang berhimpun di tepi jalan di Kampung Sungai Raya.

“Tangkapan keempat membabitkan seorang lelaki warga Indonesia di kawasan parkir motosikal di Jeti Kuah pada jam 7.30 malam.

“Semua 14 individu terbabit gagal memberi alasan munasabah untuk berada di luar rumah, sekali gus melanggar PKP yang sedang dikuat kuasakan,” katanya.

Beliau berkata, semua individu terbabit ditahan reman dan disiasat bawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Sebahagian 14 individu yang ditahan polis akibat melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Mukim Kuah dan Padang Matsirat, Langkawi. - Foto ihsan Polis
Sebahagian 14 individu yang ditahan polis akibat melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Mukim Kuah dan Padang Matsirat, Langkawi. - Foto ihsan Polis

Berita Harian X