Selasa, 31 March 2020 | 10:09pm
Dua lelaki yang menjalani PPT turut diberi bantuan makanan. - NSTP/Abnor Hamizam
Dua lelaki yang menjalani PPT turut diberi bantuan makanan. - NSTP/Abnor Hamizam

Hanya makan roti, minum air kosong

JELEBU: Dua lelaki yang menjalani Penggantungan Perintah Tahanan (PPT) mengikut Seksyen 7(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah - Langkah Pencegahan Khas) 1985, di Kuala Klawang turut diberi bantuan makanan.

Kedua-dua lelaki berusia 52 dan 28 tahun itu hanya makan roti bersama air kosong sejak beberapa hari lalu selepas terputus bekalan makanan.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata keadaan kedua-dua lelaki tidak makan sejak beberapa hari itu diketahui anggota mengadakan lawatan ke rumah sewa mereka, petang semalam.

Katanya, kedua-dua lelaki itu tinggal di dalam rumah sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.

“Sebaik dimaklumkan, anggota polis dari Balai Polis Kuala Klawang bergegas menghantar keperluan makanan ke rumah sewa dua lelaki berkenaan,” katanya.

Kamarul Rizal memuji tindakan pantas anggotanya membantu dua lelaki itu yang terputus bekalan makanan.

“Anggota mencari bantuan makanan sebelum sebuah syarikat bersetuju menghulurkan bantuan makanan sebelum diserahkan kepada mereka yang dalam kelaparan,” katanya.

Berita Harian X