Khamis, 2 April 2020 | 5:36pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: Waktu operasi perniagaan di Perak diselaras

IPOH: Waktu operasi semua premis perniagaan dan perkhidmatan di negeri ini diselaraskan kepada bermula 8 pagi hingga 8 malam berkuat kuasa esok.

Ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Kedua yang mula berkuatkuasa semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata ketetapan ini berkuatkuasa hingga 14 April ini atau sehingga perintah PKP ditarik balik.

“Premis perniagaan dan perkhidmatan yang terbabit adalah yang menjual keperluan harian termasuk pasar raya, kedai runcit dan kedai serbaneka 24 jam.

“Juga semua premis kedai makan dan rangkaian restoran makanan segera termasuk khidmat pandu lalu masing-masing serta semua stesen minyak dan perkhidmatan penghantaran makanan.

“Bagaimanapun, hospital swasta, klinik swasta dan farmasi dikecualikan daripada arahan waktu operasi ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, selain itu peniaga dan pengendali pengangkutan awam serta rakyat juga diminta mematuhi beberapa ketetapan.

“Waktu operasi bagi Pasar Awam bermula 6 pagi hingga 12 tengahari; Pasar Borong (4-10 pagi); bengkel membaiki kenderaan atau tayar dan kedai alat ganti (8 pagi-4 petang); perkhidmatan tunda kenderaan boleh beroperasi seperti biasa; pengangkutan awam (6-10 pagi dan 5 petang-10 malam) dan mesin ATM di cawangan perbankan (8 pagi-8 malam).

“Kenderaan persendirian hanya dibenarkan antara 6 pagi hingga 10 malam, termasuk perkhidmatan e-Hailing dan teksi, manakala semua kenderaan persendirian hanya dibenarkan seorang sahaja iaitu pemandu kecuali waktu kecemasan.

“Pengangkutan komersial membabitkan barangan keperluan seperti makanan dan perubatan digalakkan beroperasi dari 7 malam hingga 7 pagi,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti riadah dan sosial pula tidak dibenarkan di kawasan awam dan persendirian, namun kelonggaran diberi kepada golongan autism dan orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan terapi seperti dinasihatkan pakar dan tidak dibenarkan secara berkumpulan.

Katanya, kerajaan menggalakkan orang ramai membuat pembelian secara dalam talian.

Katanya, had tempoh operasi dua kali dalam tempoh seminggu juga sudah ditetapkan bagi perniagaan penjualan kedai input pertanian, kedai perkakasan, penjualan makanan haiwan kesayangan, makanan haiwan, ubatan dan keperluan berkaitan dan kedai menjual alat tukar ganti jentera pertanian dan industri.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X