Selasa, 7 April 2020 | 10:27am
Perlis memberikan kelonggaran kepada peniaga beberapa sektor perniagaan untuk beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, bermula hari ini. - Gambar hiasan
Perlis memberikan kelonggaran kepada peniaga beberapa sektor perniagaan untuk beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, bermula hari ini. - Gambar hiasan

Kerajaan negeri beri kelonggaran kepada peniaga

KANGAR: Perlis memberikan kelonggaran kepada peniaga beberapa sektor perniagaan untuk beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula hari ini.

Kerajaan negeri dalam kenyataan berkata, peniaga terbabit dibenarkan beroperasi mengikut waktu dan hari ditetapkan.

Katanya, antara perniagaan yang diberikan kelonggaran adalah bengkel dan pusat servis kereta, premis penjualan baja pertanian, kedai barangan pertukangan dan pusat penjualan makanan haiwan peliharaan.

“Bagi premis penjualan baja, peniaga dibenarkan hanya beroperasi pada Isnin dan Khamis bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam.

“Manakala kedai perkakasan dibenarkan beroperasi hanya pada hari Selasa dan Jumaat bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam.

“Premis menjual barangan keperluan haiwan peliharaan pula dibenarkan beroperasi hanya pada hari Rabu dan Sabtu bermula 8 pagi sehingga 8 malam,” katanya.

Menurut kenyataan itu, selain premis dan sektor perniagaan yang di atas adalah tertakluk kepada waktu operasi di bawah ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Waktu operasi bagi pasar borong pula ditetapkan bermula jam 4 pagi hingga 8 pagi dan pasar basah adalah pada jam 7 pagi sehingga 1 tengah hari setiap hari.

“Waktu operasi stesen minyak pula bermula jam 7 pagi sehingga 8 malam setiap hari. Sepanjang beroperasi semua pemilik premis perlu melaksanakan kawalan Penjarakan Sosial seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Berita Harian X