Selasa, 7 April 2020 | 11:12am

Usahawan kecil tarik nafas lega

SUNGAI PETANI: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) PKS Tambahan bernilai RM10 bilion yang diumumkan kerajaan hari ini, ternyata memberi kelegaan buat usahawan kecil.

Pengusaha kedai kain, Mohd Fauzan Rasid, 35, berkata pakej rangsangan itu dilihat mampu membantu kelangsungan perniagaannya selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

“Sebelum ini saya buntu memikirkan bayaran gaji penuh bagi empat pekerja berikutan kedai tidak dapat beroperasi sepenuhnya sejak PKP.

“Dengan adanya subsidi upah yang diberikan sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja ia dapat memberi suntikan kewangan untuk menjelaskan gaji pekerja,” katanya ketika dihubungi.

Fauzan berkata, selain itu, syarikatnya turut menerima manfaat daripada lanjutan tempohan serahan penyata kewangan syarikat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) apabila pihaknya berkemungkinan mendapat penangguhan bayaran cukai.

“Bila cukai perniagaan ditangguhkan ia dapat mengurangkan kos syarikat sepanjang PKP sekali gus membantu kewangan syarikat untuk terus bertahan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pakej rangsangan tambahan itu dijangka mampu meringankan beban usahawan PKS.

Berita Harian X