Selasa, 7 April 2020 | 11:59am
Kerajaan menambah peruntukan program subsidi upah kepada RM13.8 bilion, berbanding RM5.9 bilion dalam pakej awal sebelum ini. - Foto hiasan
Kerajaan menambah peruntukan program subsidi upah kepada RM13.8 bilion, berbanding RM5.9 bilion dalam pakej awal sebelum ini. - Foto hiasan

Insentif Pakej PRIHATIN PKS memang dinantikan

LANGKAWI: Usahawan kecil dan sederhana di daerah ini menyambut baik langkah proaktif kerajaan memperkenal Pakej PRIHATIN PKS (Tambahan) yang diumumkan, semalam.

Pada pengumuman itu, kerajaan menambah peruntukan program subsidi upah kepada RM13.8 bilion, berbanding RM5.9 bilion dalam pakej awal sebelum ini.

Pemilik kedai dobi, Yusof Abdullah, 58, berkata insentif itu memang dinantikan usahawan kecil yang kini tertekan selepas operasi perniagaan terpaksa dihentikan.

“Bagaimana kami para majikan mahu membayar gaji pekerja kerana tiada aliran tunai selepas perniagaan terpaksa ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Alhamdulillah, kerajaan mengumumkan memberikan subsidi upah RM1,200 setiap pekerja bagi syarikat mempunyai bawah 75 pekerja,” katanya ketika dihubungi di sini.

Namun, beliau selaku pemilik AY Laundry di sini, berharap agensi kerajaan yang menguruskan subsidi upah itu mempermudahkan urusan tuntutan dan kurangkan karenah birokrasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Tropical Chaters, Datuk Issac Alexander, turut menyambut baik langkah baharu kerajaan berkaitan kadar baharu subsidi upah.

“Syarikat saya memiliki 40 pekerja dan memang layak menerima subsidi upah yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

“Pasti ia menggembirakan kakitangan saya dan mereka boleh meneruskan khidmat dengan syarikat, sekali gus mengurangkan juga tekanan kepada majikan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, syarikat miliknya yang mengendalikan pelayaran dengan kapal layar pasti berhadapan cabaran untuk meneruskan perniagaan selepas PKP berakhir kerana kemerosotan pelancong.

Berita Harian X