Selasa, 7 April 2020 | 12:44pm
Aktiviti menjaja ikan di kawasan Kompleks Perikanan SAFMA Kota Kinabalu tidak dibenarkan dan arahan itu berkuatkuasa serta-merta, hari ini. - Foto hiasan
Aktiviti menjaja ikan di kawasan Kompleks Perikanan SAFMA Kota Kinabalu tidak dibenarkan dan arahan itu berkuatkuasa serta-merta, hari ini. - Foto hiasan

Larangan aktiviti menjaja ikan di kawasan Kompleks Perikanan SAFMA

KOTA KINABALU: Aktiviti menjaja ikan di kawasan Kompleks Perikanan SAFMA Kota Kinabalu tidak dibenarkan dan arahan itu berkuatkuasa serta-merta, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong, berkata Kerajaan negeri mengambil maklum mengenai kesesakan yang berlaku di Kompleks Perikanan SAFMA Kota Kinabalu, setiap hari.

“Oleh itu, kita telah memutuskan Kompleks Perikanan ini hanya digunakan untuk tujuan pemunggahan ikan dan jualan borong sahaja.

“Semua aktiviti menjaja ikan dan hasil perikanan lain di kawasan kompleks tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Safar turut mengulas mengenai kesesakan di beberapa cawangan bank sekitar bandar dan pekan di seluruh negeri sejak semalam.

Beliau menasihatkan pelanggan bank mengamalkan jarak sosial ketika berurusan di bank dan tidak berpusu-pusu datang ke cawangan bank.

Safar turut menyarankan, pihak bank untuk hadkan bilangan pelanggan berurusan pada satu-satu masa di samping hendaklah melaksanakan tatacara yang tertib dan teratur.

Berita Harian X