Selasa, 7 April 2020 | 12:51pm

Pulau Pinang lancar platform jualan dalam talian

GEORGETOWN: Peniaga makanan di negeri ini berpeluang meningkatkan jualan makanan menerusi platform jualan makanan secara dalam talian ‘[email protected]’ yang dilancarkan hari ini.

Inisiatif berkenaan adalah bagi membantu peniaga memasarkan jualan dan menjana pendapatan sekali gus memudahkan pembeli membuat pesanan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kaedah itu juga adalah bagi menangani kekangan yang dihadapi peniaga kecil sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya pada peringkat permulaan, konsep itu hanya membabitkan peniaga kompleks makanan di bawah naungan MBPP, sebelum diperluaskan kepada peniaga di pasar awam dan bazar Ramadan.

“Walaupun masih di peringkat awal, ia dijangka mampu menarik ramai peniaga dan pembeli bagi menyertainya.

“Sejak PKP dilaksanakan, golongan peniaga kecil adalah yang terkesan kerana walaupun dibenarkan berniaga, terdapat kekangan yang menyebabkan perniagaan mereka tidak dapat diuruskan dengan baik,” katanya yang turut melancarkan konsep berkenaan di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), hari ini.

Dalam perkembangan lanjut, Chow berkata kaedah berkenaan dijangka menjadi sistem sokongan sebagai persediaan bagi meningkatkan jualan dalam menghadapi cabaran urus niaga pada masa depan.

Katanya, pembeli perlu memastikan makanan yang diterima mempunyai pelekat keselamatan sebagai jaminan terhadap kualiti makanan yang dijual.

“Peniaga akan memperoleh bayaran hasil daripada jualan itu menerusi ‘Electronic Funds Transfer’ (EFT) dalam masa tiga hari daripada tarikh urus niaga.

“Ini adalah sebagai permulaan dan kita akan menambah baik daripada semasa ke semasa termasuk dengan menjemput lebih ramai operator penghantaran bagi menyertainya,” katanya.

Sementara itu Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang berkata, pada peringkat permulaan, ia akan menggunakan khidmat syarikat penghantaran, DeliverEat dengan penghantaran dalam masa sekitar 45 minit.

“Seramai 27 penganjur bazar Ramadan juga akan dijemput bagi menyertai konsep ini pada peringkat seterusnya.

“Orang ramai boleh membuat pesanan dengan masuk ke laman sesawang rasmi MBPP dan menekan pautan [email protected] sebelum log masuk ke ruang berkaitan,” katanya lagi.

Pertanyaan lanjut, boleh menghubungi pentadbir menerusi aplikasi WhatsApp di talian 016-2004082.

Kon Yeow (kiri) melancarkan portal Jom Beli Online (JBO@MBPP) di KOMTAR, hari ini. - NSTP/Danial Saad
Kon Yeow (kiri) melancarkan portal Jom Beli Online ([email protected]) di KOMTAR, hari ini. - NSTP/Danial Saad
Berita Harian X