Selasa, 7 April 2020 | 1:16pm

Lapan portfolio EXCO Perak diumumkan hari ini

IPOH: Perak mengumumkan senarai lapan portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang bertanggungjawab terhadap portfolio Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi, GLC dan Integrasi Nasional.

ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna; manakala ADUN Semanggol, Razman Zakaria (Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil); ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi (Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan).

ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya (Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor); ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri (Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Infrastruktur, Tenaga dan Air).

ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin pula akan menyandang portfolio Agama Islam dan Penerangan. ADUN Kampung Gajah, Datuk Dr Norashikin Wan Noordin bertanggungjawab bagi portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat.

Senarai portfolio itu diumumkan Ahmad Faizal pada majlis yang berlangsung di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Ahmad Faizal berkata, beberapa EXCO yang sudah dilantik akan turut memangku portfolio tiga lagi jawatan EXCO yang masih belum diisi.

“Saya sendiri akan memangku portfolio Kesihatan manakala Akmal akan memangku portfolio Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.

“Nolee Ashilin pula akan memangku portfolio Komunikasi dan Multimedia, manakala Shahrul Zaman pula akan memangku portfolio Belia dan Sukan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya pasukan yang dibentuk akan bekerja dengan kuat untuk menggalas cabaran.

“Tetapi pada masa yang sama, pasukan ini juga memerlukan kerjasama, sokongan dan doa seluruh rakyat Perak yang dikasihi dalam mengharungi badai gelora ekonomi kesan wabak COVID-19.

“Insya-Allah, jika kita bersatu hati dan iltizam, menerima hikmah di sebalik ujian, kita akan berjaya mengatasi cabaran ini seperti mana yang sudah kita buktikan dalam krisis sebelum ini,” katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berucap mengumumkan senarai lapan portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan. - Foto ihsan Pejabat Menteri Besar Perak
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berucap mengumumkan senarai lapan portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan. - Foto ihsan Pejabat Menteri Besar Perak
Berita Harian X