Selasa, 7 April 2020 | 7:23pm
Helikopter EC725 TUDM membuat penghantaran bekalan makanan ke Long Akah dan Long Loyang di hulu Baram, hari ini. - Foto ihsan ATM
Helikopter EC725 TUDM membuat penghantaran bekalan makanan ke Long Akah dan Long Loyang di hulu Baram, hari ini. - Foto ihsan ATM

Penghantaran bekalan makanan ke pedalaman Sarawak lancar

MIRI: Operasi penghantaran bekalan makanan menggunakan helikopter EC725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang masuk hari ketiga hari ini, berjaya dilaksanakan di dua kawasan pedalaman negeri ini, hari ini.

Pesawat pertama yang terbabit dalam operasi hari ini diterbangkan oleh Lt Kol Vachiral Ratanaphan Ban Teang membuat penghantaran ke Long Akah di hulu Baram.

Beliau dibantu Kapten Mohd Firdaus Anual dan Kuartermaster Udara, Sarjan Jacy Wharton Astillero.

Tempat kedua penghantaran bekalan makanan asas hari ini pula dilakukan di Long Loyang, juga di hulu Baram.

Pesawat berkenaan dikendalikan Mejar Frezal bin Raynol @ Zainal dengan dibantu oleh pembantu juruterbang, Kapten Syahir Jaafar dan Kuartermaster Udara, PW II Sunerie Sugang.

Operasi penghantaran bekalan makanan ke kawasan pedalaman di Sarawak bagi meringankan beban penduduk yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg di Miri, Ahad lalu.

Helikopter terpaksa digunakan berikutan beberapa kawasan di pedalaman yang tidak boleh atau sukar dihubungi melalui jalan darat.

TUDM memberi jaminan penghantaran bekalan makanan ke semua 13 tempat di pedalaman itu akan selesai sepenuhnya dalam masa antara empat hingga lima hari, bergantung kepada keadaan cuaca.

Berita Harian X