Selasa, 7 April 2020 | 8:26pm
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow. - Foto ihsan CAP
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow. - Foto ihsan CAP

Jadikan aktiviti berkebun, isi masa sepanjang PKP

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggalakkan orang ramai supaya menjadikan aktiviti berkebun di rumah sebagai amalan mengisi masa lapang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, amalan itu bukan sahaja menjimatkan wang tetapi dapat bersenam atau melakukan lebih banyak pergerakan.

Subbarow berkata, tanaman ditanam sendiri lebih berkhasiat, selamat dan segar berbanding membelinya di pasaran.

Katanya, ia juga boleh membantu keluarga khususnya yang berpendapatan rendah bagi mengurangkan ‘bil’ makanan keluarga.

“Pertanian atau berkebun di bandar juga mudah dan boleh dilakukan walaupun ruang terhad.

“Malah, ibu bapa boleh menunjukkan contoh baik kepada anak dengan menanam sendiri sayuran yang boleh dijadikan makanan.

“Taman hijau akan menarik serangga bermanfaat seperti kupu-kupu bagi kepentingan ekosistem seimbang,” katanya di sini, hari ini.

Subbarow berkata, penggunaan baja kompos yang dibuat sendiri juga menjamin keselamatan sayuran berkenan.

“Sisa dapur boleh dikompos bagi dijadikan baja dan ia menjadi sayuran bebas bahan kimia serta racun perosak, malah kita dapat mengurangkan sisa dibuang daripada dapur.

“Sebagai permulaan, mereka boleh menanam tanaman ringkas seperti bawang, taugeh, bayam dan terung,” katanya.

CAP antara badan aktif mempromosikan amalan berkebun di rumah terutama kepada suri rumah.

Sehingga kini, CAP mempunyai hampir 50 sayuran, ulam dan herba yang ditanam di belakang pejabatnya sejak lapan tahun lalu.

Berita Harian X