Selasa, 7 April 2020 | 9:39pm

Redah 215 KM, jalan balak hantar bekalan makanan

BINTULU: Petugas Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau di sini, terpaksa melakukan perjalanan sejauh 215 kilometer semata-mata menyerahkan bantuan makanan kepada penduduk di pedalaman.

Lebih mencabar, sebahagian perjalanan itu membabitkan jalan balak tidak bertar dan berlubang-lubang.

Ia antara cabaran dihadapi petugas BBP Tatau dalam melaksanakan tugas yang berlainan daripada apa yang biasa mereka dilakukan, iaitu memadam kebakaran atau operasi mencari dan menyelamat.

Ketua BBP Tatau, Jankey Jikat, berkata BBP Tatau berulang-alik antara pekan Tatau dekat sini dengan beberapa kawasan penempatan terpencil untuk menyerahkan bantuan makanan kepada penduduk sejak semalam.

“Memang mencabar dengan keadaan jalan licin selepas hujan dan berlubang-lubang, tetapi kami menerimanya sebagai asam garam dalam misi membantu masyarakat di kawasan pedalaman ini,” katanya kepada BERNAMA.

Petugas di BBP Tatau antara pegawai dan anggota Bomba dan Penyelamat Sarawak, yang terbabit menghantar bekalan makanan ke kawasan pedalaman di bawah Program Bantuan Makanan Kerajaan Sarawak.

Ia bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Dana berjumlah RM16.4 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi melaksanakan program itu dengan menyasarkan seramai kira-kira 450,000 orang penerima.

Jankey berkata, dianggarkan lebih lapan tan bahan makanan seperti beras dan makanan lain dihantar sejak operasi penghantaran bantuan itu bermula.

Katanya, lokasi paling jauh ialah Data Kakus yang keseluruhannya mengambil masa kira-kira 10 jam pergi dan balik.

Sewaktu di Data Kakus, Belaga, pasukan itu mengagihkan bantuan kepada 285 keluarga dari tujuh rumah panjang.

“Sememangnya perjalanan membawa muatan barangan sebanyak itu lebih-lebih lagi melalui jalan balak sangat mencabar yang memerlukan pemandu terlatih, cekap dan berpengalaman, memandu di laluan balak,” katanya.

Sehingga petang tadi, misi pasukan BBP Tatau ini berjaya menghantar bantuan makanan, kepada 667 keluarga daripada 26 rumah panjang.

Berita Harian X