Rabu, 8 April 2020 | 10:37pm
Mohd Shafie (kanan) menerima replika cek daripada syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sempena Majlis Penyerahan Sumbangan GLC kepada Tabung Bencana Negeri Sabah di Kota Kinabalu. - Foto Yun Mikail
Mohd Shafie (kanan) menerima replika cek daripada syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sempena Majlis Penyerahan Sumbangan GLC kepada Tabung Bencana Negeri Sabah di Kota Kinabalu. - Foto Yun Mikail

Rakyat Sabah di Semenanjung hubungi Pejabat Perhubungan Negeri - Shafie

KOTA KINABALU: Golongan B40 serta rakyat Sabah bekerja di Semenanjung diminta menghubungi Pejabat Perhubungan Negeri Sabah bagi mendapatkan bantuan COVID-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata sedikit kesukaran dihadapi mengesan rakyat negeri berkenaan yang bekerja di Semenanjung berikutan tiada maklumat keberadaan diri masing-masing.

“Adakalanya rakyat kita di sana berpindah tempat tinggal mahupun lokasi kerja. Oleh itu, mereka harus memaklumkan kepada kita supaya memudahkan pegawai yang bertugas.

“Berbeza dengan golongan pelajar, mereka ini sudah mempunyai rekod di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kita faham ada yang bertanya langkah untuk mendapatkan bantuan ini malahan ada yang merayu disebabkan bantuan tidak sampai.

“Saya meminta rakyat kita di Semenanjung berhubung dengan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Ampang untuk memastikan bantuan ini dapat disalurkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) kepada Tabung Bencana Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Sebanyak RM5.85 juta disumbangkan enam GLC ke dalam tabung bencana terbabit sebagai usaha menampung keperluan negeri dalam pelbagai aspek sepanjang menangani wabak COVID-19.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata setakat ini, RM9 juta bantuan sudah disampaikan kepada rakyat dan pelajar Sabah yang berada di Semenanjung.

“Sistem penyampaian bantuan melalui Pakej Bantuan COVID-19 Sabah ini dipantau setiap hari untuk memastikan bantuan sampai kepada semua kumpulan sasar,” katanya.

Berita Harian X