Khamis, 16 April 2020 | 1:13pm
- Foto hiasan: NSTP/Rosela Ismail
- Foto hiasan: NSTP/Rosela Ismail

PKP: UPM wujud pusat panggilan kecemasan untuk hadapi krisis

KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) mewujudkan Pusat Panggilan Kecemasan Umum dan Khas (Hotline) bagi komunikasi krisis dan pertolongan kecemasan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris, berkata kewujudan pusat panggilan itu juga bagi mengelak penularan berita palsu sekali gus memastikan semua warga universiti menerima maklumat yang sahih.

Pihak universiti sentiasa berkomunikasi dengan menggunakan platform hebahan dalaman melalui saluran-saluran rasmi seperti emel rasmi [email protected] (staf dan pelajar), media sosial rasmi UPM, dan laman web rasmi UPM yang dikemaskini mengikut keperluan.

Malah satu saluran baharu juga diwujudkan sewaktu tempoh PKP, iaitu aplikasi Telegram rasmi untuk Staf UPM.

“Di samping itu, pihak berkepentingan yang lain juga turut disalurkan segala maklumat UPM yang berkaitan dengan menggunakan saluran media sosial rasmi UPM dan aplikasi Telegram rasmi.,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Prof Aini berkata, UPM juga telah menjayakan advokasi awam dengan menyampaikan maklumat dan rujukan perkongsian kepakaran.

Advokasi awam ini telah membincangkan impak pandemik dalam pelbagai aspek seperti perubatan, kesihatan awam, perubatan veterinar, pertanian, ekonomi, teknologi maklumat, psikologi, orang asli dan keselamatan insan.

Pada masa ini, seramai 2,264 orang pelajar berada di kampus Serdang dan Bintulu manakala kira-kira 1, 200 pelajar lagi yang berada di sekitar dan luar kampus UPM.

Aini memaklumkan pengurusan hal ehwal kebajikan dan penginapan pelajar telah diberi perhatian serius dan tindakan telah diambil bagi memastikan kesan bebanan PKP dapat diringankan dalam kalangan pelajar, seterusnya membendung risiko jangkitan dan penularan wabak COVID-19.

“Memahami suasana terkurung dan ‘demam terperuk’ serta kemungkinan tercetus perasaan bosan, pelajar turut dibantu dari aspek sokongan psikologi oleh kaunselor UPM sepanjang PKP menerusi inisiatif Bahagian Kaunseling UPM.

“Antara inisiatif itu adalah tele-kaunseling yang dilaksanakan 12 orang kaunselor bertugas. selain itu disediakan slot bimbingan kaunselor menerusi perkongsian dan mendengar luahan pelajar; serta perkongsian maklumat menerusi poster dan video berkenaan kesedaran menjaga kesihatan mental serta tips pengurusan emosi sepanjang PKP,” katanya.

Berita Harian X