Khamis, 16 April 2020 | 1:18pm
FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.

PKP: Tiada aktiviti pengimarahan Ramadan di Perak

IPOH: Tiada sebarang aktiviti pengimarahan bulan Ramadan seperti berbuka puasa dan solat tarawih dibenarkan untuk dilakukan secara beramai-ramai di semua masjid mahupun surau seluruh Perak sepanjang tempoh penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Ekesekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari, berkata ketetapan itu diambil berpandukan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri (JFN) Perak bertarikh 11 April lalu.

Katanya, ia bersempena menjunjung titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menyarankan supaya rakyat mematuhi PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April 2020 sebagaimana yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Tidak dibenar mengadakan acara berbuka puasa, solat sunat tarawih, bersahur, qiamullail, tazkirah, kursus, ceramah dan sebarang aktiviti yang membabitkan perhimpunan yang ramai di masjid, surau atau di tempat tertentu sebaliknya cukup di rumah masing-masing dalam kalangan ahli keluarga.

“Sekiranya PKP terus dilanjutkan sehingga bulan Syawal, Solat Sunat Aidilfitri juga hendaklah dilakukan dalam kalangan ahli keluarga di rumah masing-masing dan hanya tiga pegawai masjid iaitu masing-masing seorang imam, siak, dan bilal sahaja yang dibenarkan mendirikannya di masjid atau surau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, semua ketetapan yang dimaktubkan menerusi kenyataan media yang dikeluarkan MAIPk bermula 17 Mac lalu seperti penggantian solat Jumaat kepada solat Zohor di rumah masing-masing selain solat fardhu dan sebagainya masih terpakai.

Dalam pada itu Shahrul Azam berkata, pembayaran zakat harta dan zakat fitrah juga dapat dibayar secara manual sepanjang PKP berlangsung termasuk melalui kaedah kaunter pandu lalu (drive-thru) yang diwujudkan di masjid utama daerah serta masjid yang berkedudukan di tepi jalan besar.

Katanya, terdapat juga amil zakat yang ditugaskan bergerak dari rumah ke rumah menemui pembayar khususnya dari golongan warga tua yang uzur serta tidak mahir membayar secara dalam talian selain masyarakat di kawasan komuniti pedalaman yang tiada akses kepada internet.

Beliau berkata, pembayaran juga boleh dilakukan menerusi Tabung Khas Fitrah yang akan diwujudkan di masjid dan hospital tertentu selain balai polis yang hanya memerlukan pembayar memasukkan jumlah fitrah, maklumat pembayar, dan nombor telefon ke dalam sampul.

“Kita sememangnya mengutamakan pembayaran secara dalam talian namun untuk kes tertentu, kita juga mencari alternatif bagi memudahkan urusan mereka yang kurang berkemampuan.

“Kadar Fitrah pada tahun ini masih kekal dengan kadar RM7, RM14, dan RM21 sebagaimana tahun lalu namun sekiranya ada keluarga yang tidak mampu membayar kadar RM7, JFN Perak menetapkan hukum harus kepada mereka bagi membayar sebahagian pada kadar kemampuannya.

“Contohnya jika pembayar dan tanggungannya ada lapan orang dan dia hanya mampu menjelaskan bayaran zakat fitrah hanya bagi lima orang, maka dia sudah dianggap menunaikan ibadah zakat terbabit walau dengan pembayaran bagi lima orang,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X