Sabtu, 18 April 2020 | 11:03am

Muzik tradisional satukan keluarga ketika PKP

ALOR SETAR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah lebih sebulan berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu memberi pelbagai kesan kepada aktiviti harian masyarakat yang terpaksa duduk di rumah.

Bagi keluarga Mohd Khairi Abd Rani, 40, kesempatan itu diisi dengan melakukan aktiviti bersama empat anaknya berusia antara dua hingga 10 tahun dengan bermain alat muzik tradisional seperti serunai, gendang ibu, gendang anak, gong dan tamburin.

Katanya, sepanjang PKP hubungan dia bersama anak-anak semakin rapat apabila disatukan dengan muzik berkenaan.

“Tiga anak saya, iaitu (Nur Kaseh) Danisya, 10, dan (Muhammad Khairil) Daim, 8, dan (Nur Kaseh) Damia, 5, memang saya latih mereka bermain alat muzik ini sejak berusia dua tahun.

“Tapi yang bongsu, (Nur Kaseh) Dahlia lain sikit, dia sendiri yang memegang pemukul gong dan mahu menyertai kakak dan abangnya bermain alat muzik ini, saya tak perlu ajar Dahlia kerana dia dapat mengikut tempo dengan lagu yang dimainkan.

“Cuma masa main, Dahlia tak akan melepaskan puting kosong di mulutnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang, Hutan Kampung di sini.

Khairi yang juga kakitangan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) berkata, anak lelakinya kini sudah mampu menguasai kesemua alat permainan muzik tradisional di rumahnya kecuali serunai.

“Danisya pula boleh main gendang anak, gong dan tamburin, manakala Damia dan Dahlia boleh bermain gong dan tamburin.

“Cuma Damia dan Dahlia ini selalu berebut hendak main gong, selalunya Damia akan mengalah dengan Dahlia,” katanya yang merupakan ahli Pegendangan Silat dan Muzik Asli Hutan Kampung.

Khairi berkata dia sangat gembira apabila anak-anaknya mengikut jejak langkah meminati permainan muzik tradisional yang kini semakin tenggelam ditelan zaman.

Katanya, dia mewarisi kemahiran bermain alat muzik itu daripada bapanya sejak berusia 10 tahun dan berharap semua anaknya akan terus memperjuangkan alat muzik berkenaan.

Mohd Khairi Abd Rani, 40, bersama empat anaknya bermain alat muzik tradisional di rumah mereka di Kampung Padang, Hutan Kampung, Alor Setar. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Mohd Khairi Abd Rani, 40, bersama empat anaknya bermain alat muzik tradisional di rumah mereka di Kampung Padang, Hutan Kampung, Alor Setar. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Berita Harian X