Ahad, 19 April 2020 | 11:26am
Rumah seorang penduduk rosak teruk selepas ditimpa pokok di Kampung Tebing Tinggi, Baling petang semalam. - Foto ihsan Pembaca
Rumah seorang penduduk rosak teruk selepas ditimpa pokok di Kampung Tebing Tinggi, Baling petang semalam. - Foto ihsan Pembaca

17 rumah rosak akibat ribut

BALING :Hujan lebat dan angin kencang merosakkan 17 rumah di enam kampung dalam Mukim Pulai di sini, petang semalam.

Ribut sekitar jam 6 petang merosakkan tiga rumah di Kampung Sungai Limau; Banggol Setang (4); Tebing Tinggi (1); Padang (5); Charok Kelian (2) dan Asam Jawa (2).

Penghulu Mukim Pulai/Kupang, Badrul Hisham Che Li, berkata hujan lebat dan ribut selama 30 minit menyebabkan bumbung diterbangkan angin dan pokok menghempap rumah.

Beliau berkata, tiada kecederaan dilaporkan.

“Kebanyakan bumbung rumah terbabit diterbangkan angin, selain ada ditimpa pokok. Banyak barang dan perabot rosak,” katanya.

Sementara itu, mangsa, Mohd Ali Abd Latif, 69, dari Kampung Tebing Tinggi, berkata ketika hujan lebat dan angin kuat dia berada di dapur.

“Bagaimanapun saya berlari ke ruang tamu kerana bimbang berlaku kejadian buruk dan tiba-tiba bunyi dentuman kuat di atas bumbung.

“Saya terkejut tiba-tiba sebatang pokok menimpa bumbung dan mujur saya dapat merangkak keluar,” katanya.

Berita Harian X