Rabu, 22 April 2020 | 10:57am
Anggota Bomba dan Penyelamat Pahang melakukan operasi sanitasi dalam Penjara Penor. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Anggota Bomba dan Penyelamat Pahang melakukan operasi sanitasi dalam Penjara Penor. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

COVID-19: Bomba Pahang capai 100 peratus sanitasi

KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang sudah mencapai 100 peratus pelaksanaan sanitasi membabitkan lebih 300 operasi di seluruh negeri.

Pemangku Pengarahnya, Mohd Zahar Abdullah, berkata operasi sanitasi dilakukan secara berperingkat dan selesai sepenuhnya minggu lalu.

Beliau berkata, di beberapa lokasi yang dikategorikan berisiko tinggi, aktiviti nyah cemar dilakukan secara berulang dua hingga tiga kali.

Menurutnya, Kuantan dan Jerantut yang diisytihar Zon Merah selain Pekan yang dikategorikan sebagai Zon Oren turut dilakukan operasi sanitasi berulang membabit tempat tumpuan termasuk premis kerajaan.

Katanya, JBPM Pahang yang mempunyai seramai 1,000 pegawai dan anggota semua peringkat turut melakukan aktiviti nyah cemar di Penjara Bentong dan Penjara Penor termasuk Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10, di sini.

“Kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat melancarkan lagi setiap kali operasi sanitasi dilakukan, kita menggunakan pelbagai kemudahan termasuk jentera.

“Kita akan terus melakukan operasi sanitasi untuk pusingan seterusnya selagi diperlukan seperti diarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan kawasan terbabit bebas sepenuhnya COVID-19,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi sanitasi yang dilakukan mengikut garis panduan dan pengawasan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Mohd Zahar berkata, setiap operasi membabitkan antara 50 hingga 60 anggota.

Katanya, kelmarin pihaknya turut melakukan operasi sanitasi di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, di sini yang menjadi pintu masuk pelancong tempatan dan luar negara melalui pengangkutan udara.

“Saya berpuas hati dengan kejayaan operasi sanitasi yang dilakukan JBPM Pahang sepanjang PKP, kesungguhan dan semangat tinggi anggota yang terbabit begitu membanggakan walaupun ada yang terpaksa bertugas pada waktu malam.

“Kita akan meneruskan lagi operasi nyah kuman di negeri ini selagi diperlukan bagi memastikan virus COVID-19 dapat dihapuskan 100 peratus,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X