X
Sabtu, 25 April 2020 | 6:46pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: 19 daerah di Sarawak zon hijau

KUCHING: Sebanyak 19 daerah di Sarawak dikategorikan sebagai zon hijau, dua masih dalam zon merah manakala sembilan lagi berada dalam zon kuning.

Daerah yang dikategorikan sebagai zon hijau itu ialah Lawas, Mukah, Matu, Sarikei, Sibu, Limbang, Lundu, Saratok, Pusa, Kabong, Lubok Antu, Meradong dan Julau.

Turut dikategori sebagai zon hijau termasuklah daerah Pakan, Kanowit, Selangau, Tatau, Sebauh, Dalat, Daro, Tanjung Manis, Kapit, Belaga, Song, Bukit Mabong, Marudi, Subis, Beluru dan Telang Usan.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, sembilan daerah yang dikategorikan sebagai zon kuning pula ialah Miri, Bau, Asajaya, Simunjan, Serian, Tebedu, Betong, Sri Aman dan Bintulu dengan jumlah kes positif keseluruhan adalah 77 kes.

"Dua kawasan masih berada dalam zon merah iaitu Kuching yang merekodkan 297 kes positif dan Kota Samarahan yang merekodkan 82 kes," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Sarawak merekodkan 10 kes positif COVID-19 baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan yang dijangkiti meningkat sebanyak 478 kes.

Daripada 10 kes itu, enam kes dari daerah Kuching, tiga dari Kota Samarahan dan satu dari Miri.

"Bilangan individu dalam siasatan (PUI) hari ini pula sebanyak 135 kes, menurun berbanding 147 kes semalam.

"Hari ini, jumlah pesakit yang disahkan sembuh meningkat kepada 150 orang dengan dua dari Kuching adalah yang terbaharu dibenarkan keluar hospital, hari ini," katanya.

Mengenai kes positif dalam kalangan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia di Kuching pula, beliau berkata jumlahnya kekal 50 orang dengan 20 daripadanya adalah Kluster Persidangan Kuching manakala baki 30 orang adalah dari kluster kecil.

Sementara itu, seramai 292 orang lagi orang di bawah pengawasan (PUS) baharu mendaftar masuk di hotel di seluruh negeri ini hari ini, menjadikan keseluruhan PUS adalah seramai 1,451 orang yang dikuarantin di 19 hotel seluruh Sarawak.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X