Isnin, 27 April 2020 | 11:02am
ZAYANA Yazed menghasilkan pakaian pelindung diri (PPE) bersama sukarelawan di premis jahitannya di Cheras. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
ZAYANA Yazed menghasilkan pakaian pelindung diri (PPE) bersama sukarelawan di premis jahitannya di Cheras. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

60 tukang jahit sukarela hasilkan 200 PPE sehari

KUALA LUMPUR: Seramai 60 tukang jahit sukarela berkorban masa dan tenaga menyiapkan lebih 200 pakaian pelindung diri (PPE) setiap hari bagi kegunaan petugas kesihatan merawat pesakit COVID-19 di hospital.

Itu antara sumbangan besar mereka yang bergerak di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Combat C19My bagi membantu barisan hadapan dengan menjahit PPE dan bekerja hampir setiap hari tanpa gaji dan upah.

Ketua PPE Combat C19My, Zayana Yazed, berkata usaha itu tercetus apabila beliau dan rakan-rakan NGO melihat kesukaran terpaksa dilalui petugas kesihatan di hospital ketika merawat pesakit COVID-19.

"Saya nampak ada jururawat jahit sendiri PPE di hospital. Ada yang menggunakan plastik sampah dipotong untuk dijadikan PPE.

"Mereka sungguh cekal dan keadaan ini membuatkan kami cukup tersentuh. Jururawat tidak sepatutnya dibebankan dengan kerja menjahit," katanya ketika ditemui BH di premis jahitannya di Cheras di sini, hari ini.

Zayana berkata, dari situ mereka bertungkus lumus menggerakkan usaha mencari tukang jahit sukarela untuk ambil alih 'tugas' jururawat berkenaan.

"Saya berjaya kumpulkan 60 tukang jahit dalam tempoh dua hari di sekitar Cheras, Sungai Besi dan Ampang yang sedia tampil membantu," katanya.

Beliau berkata, di kedainya saja ada lima tukang jahit yang dibenarkan bekerja sejak usaha ini digerakkan awal April lalu, manakal selebihnya menjahit di luar atau dari rumah.

ZAYANA Yazed bersama sukarelawan menghasilkan pakaian pelindung diri (PPE) di premis jahitannya di Cheras. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
ZAYANA Yazed bersama sukarelawan menghasilkan pakaian pelindung diri (PPE) di premis jahitannya di Cheras. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

"Kami memang tidak dibayar apa-apa gaji atau upah, sebaliknya melakukan kerja sukarelawan, manakala kebenaran bekerja di premis mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.

"Hospital hanya bekalkan 'material' sebelum kami jahit menjadi sut PPE. Material digunakan biasanya kalis air supaya petugas kesihatan mendapat perlindungan secukupnya dan bebas dari risiko jangkitan," katanya yang memberitahu pasukannya sudah menyiapkan lebih 3,000 PPE setakat ini.

Beliau berkata, sut PPE itu untuk kegunaan petugas di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur serta beberapa lagi pusat kesihatan hingga kini bekalan sudah diagihkan masih tidak mencukupi.

"Permintaan sentiasa berterusan, sebab PPE adalah jenis pakai buang. Jadi selepas petugas kesihatan selesai menggunakan PPE, pakaian ini mesti dilupuskan bagi mengelak jangkitan," katanya yang juga bekas guru di Sekolah Kebangsaan Kampong Gelam, Port Dickson.

Ibu kepada dua cahaya mata ini juga berkata, kerja menjahit PPE tidaklah begitu sukar namun masih memerlukan penelitian khusus terutama kaedah jahitannya.

"Kebanyakan kami memang tak pernah ada pengalaman menjahit PPE. Ini pengalaman pertama dan sampel PPE kami reka sendiri ikut kesesuaian contoh yang ada dan nasihat daripada doktor," katanya.

Beliau berharap, lebih banyak syarikat korporat tampil menyalurkan sumbangan kepada pihaknya terutama untuk mendapatkan bekalan bahan PPE bagi membolehkan lebih banyak sut perlindungan itu dihasil dan diedar ke hospital memerlukan.

"Mana-mana syarikat korporat yang mahu menyumbang PPE, kami boleh tolong jahitkan. Kami juga akan membantu mereka untuk mencari bekalan 'material' PPE dari mana-mana pembekal di negara ini," katanya.

ZAYANA Yazed bersama pakaian pelindung diri (PPE) yang dihasilkan di premis jahitannya di Cheras. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
ZAYANA Yazed bersama pakaian pelindung diri (PPE) yang dihasilkan di premis jahitannya di Cheras. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Berita Harian X