Selasa, 28 April 2020 | 6:40pm
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika mengadakan sidang media harian perkembangan COVID-19 Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.FOTO/NSTP/UKAS
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika mengadakan sidang media harian perkembangan COVID-19 Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.FOTO/NSTP/UKAS

COVID-19: Kes positif di Sarawak menghampiri 500

PETRA JAYA: Sebanyak 496 kes positif COVID-19 dilaporkan di Sarawak sehingga penghujung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga hari ini, sejak kes pertama dikesan pada 13 Mac lalu.

Ia termasuk lapan lagi kes positif baharu dilaporkan hari ini dengan empat kes berlaku di Kuching, tiga dari Samarahan dan satu kes dari Limbang.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada lapan kes positif baharu itu, empat adalah dari Kluster Persidangan Kuching, dua dari kluster-kluster kecil, satu kes sporadik dan satu lagi masih dalam siasatan.

"Kes Limbang adalah bukti pentingnya kuarantin perlu dilaksanakan kerana pesakit itu dikuarantin di Limbang sekembalinya dia dari Brunei.

"Kes disaring pada hari ke-10 sebelum didapati positif dan dengan kes positif itu juga Limbang yang sebelum ini dikategori sebagai zon hijau kini menjadi zon kuning," katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Uggah berkata, hari ini 11 kes disahkan sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital dengan enam daripadanya dari Hospital Umum Sarawak (HUS), empat lagi dari Hospital Miri dan satu dari Hospital Sibu menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sehingga kini seramai 204 orang.

Beliau berkata, satu kes membabitkan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Kuching yang disahkan positif

COVID-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kini 53 orang.

Sementara itu, dua daerah di negeri ini masih berada dalam zon merah COVID-19 iaitu Kuching dan Kota Samarahan manakala sembilan daerah berada dalam zon kuning dan 29 dalam zon hijau.

Zon kuning ialah daerah Miri, Bau, Asajaya, Simunjan, Serian, Betong, Sri Aman, Bintulu dan Limbang.

Zon hijau pula daerah Tebedu, Lawas, Mukah, Matu, Sarikei, Sibu, Lundu, Saratok, Pusa, Kabong, Lubok Antu, Meradong, Julau, Pakan, Kanowit, Selangau, Tatau, Sebauh, Dalat, Daro, Tanjung Manis, Kapit, Belaga, Song, Bukit Mabong, Marudi, Subis, Beluru dan Telang Usan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X