Sabtu, 2 Mei 2020 | 10:44am
Tengku Azelam Tengku Abdullah (gambar besar) sedang berucap secara dalam talian ketika majlis meraikan persaraannya sebagai Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu merangkap Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus kelmarin. FOTO Ihsan PPDKT
Tengku Azelam Tengku Abdullah (gambar besar) sedang berucap secara dalam talian ketika majlis meraikan persaraannya sebagai Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu merangkap Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus kelmarin. FOTO Ihsan PPDKT

PKP: Persaraan PPD Kuala Nerus diraikan dalam talian

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) melakar sejarah tersendiri apabila meraikan persaraan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus (PPDKN), Tengku Azelam Tengku Abdullah, secara dalam talian kelmarin.

Walaupun pertama kali sambutan itu diadakan secara dalam talian kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19, majlis berlangsung lebih satu jam itu tetap meriah dengan penyertaan 45 pengetua dan guru besar serta 92 pegawai dan kakitangan PPD Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Selain itu, Majlis Sanjungan Budi Kilauan Bakti itu turut ditonton 392 guru kerana disiarkan secara langsung menerusi Youtube saluran TV Peneraju PPDKT.

Pengarah JPNT, Salim Ab Ghani, berkata walaupun diraikan dalam talian tetapi majlis persaraan Tengku Azelam tetap bermakna serta menjadi catatan sejarah hebat buat JPNT dan semua guru.

"Cukup meriah dan begitu bermakna, ini yang boleh saya rumuskan walaupun secara dalam talian. Majlis dimulai dengan ucapan dan diikuti tayangan video serta deklamasi sajak bagi menghargai jasa bakti dan pengorbanan beliau dalam dunia pendidikan.

"Mengimbas ketika dalam perkhidmatannya, cikgu Tengku Azelam berjaya membawa nama PPD Kuala Nerus sebaris dengan PPD lain walaupun dikategori sebagai PPD Satelit, antaranya peningkatan pencapaian dalam peperiksaan awam selain membawa PPD itu meraih PPD terbaik kebangsaan dalam Anugerah Pembestarian Sekolah 2019.

"Sesungguhnya persaraan cikgu Tengku Azelam adalah satu kehilangan besar buat JPNT kerana beliau bukan sahaja berperanan sebagai guru malah juga sebagai pakar motivasi kepada murid-murid kerana mempunyai kemahiran dalam bidang bimbingan dan kaunseling," ujarnya.

Turut menyertai sambutan dalam talian itu Pegawai PPDKT, Jelani Sulong; Yang Dipertua Majlis Pegawai Pendidikan Daerah Terengganu, Idris Bidin; Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Daerah Kuala Nerus, Abu Bakar RA Mohd Abdullah dan Yang Dipertua Majlis Guru Besar (MGB) Kuala Nerus, Aznordin Johan.

Bagi Jelani, majlis itu berjaya merubah naratif lama keluar daripada kebiasaan dengan melaksanakan satu majlis secara maya dan beliau teruja kerana majlis itu berlangsung dengan lancar serta sempurna walaupun kali pertama diadakan.

Sementara itu Tengku Azelam, yang juga Timbalan PPD Kuala Terengganu, memulakan kerjaya sebagai guru pada 1986 di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya, Kuala Lumpur berkhidmat selama 34 tahun dua bulan dalam dunia pendidikan sebelum bersara wajib mulai hari ini.

"Saya terharu dan berterima kepada semua terutama JPNT, PPDKT serta PPDKN yang tetap menghargai jasa dan sumbangan saya dengan mengadakan majlis persaraan ini walaupun dalam tempoh PKP.

"Saya juga melahirkan kesyukuran walaupun ditakdirkan bersara dalam suasana sebegini tanpa bersemuka dengan rakan-rakan dan ini sebenarnya adalah ketentuan Ilahi dan kita perlu tabah melaluinya kerana di dalamnya ada kemanisan.

"Kepada guru-guru, pesan saya banyakkan bersabar dan bermuhasabah dengan tugas dan tanggungjawab sebagai pendidik, manakala bagi murid-murid memanfaatkan masa dalam tempoh PKP ini dengan menambah ilmu," ujarnya.

Berita Harian X