Sabtu, 16 Mei 2020 | 2:22pm
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Orang ramai patuhi penjarakan sosial

JOHOR BAHRU: Orang ramai di bandar raya ini didapati mengamalkan penjarakan sosial ketika berada di lokasi tumpuan awam terutama pasar awam, pasar basah selain pusat membeli-belah.

Tinjauan yang dilakukan di beberapa pasar raya di sini, mendapati pengurusan premis berkenaan dilihat mengambil langkah tegas dalam mengawal pengunjung, selain membuat sistem imbasan QR Code bagi memudahkan orang ramai memasukkan butiran peribadi sebelum dibenarkan memasuki premis terbabit.

Malah, lebih ramai pengawal keselamatan yang memantau penjarakan sosial ketika pengunjung beratur di pintu masuk premis, selain membuka lebih banyak pintu masuk bagi memastikan orang ramai tidak bersesak.

Tinjauan di pasar basah di Tampoi, di sini, pula mendapati orang ramai yang ingin memasuki premis berkenaan berbaris dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu penjarakan sosial satu meter antara satu sama lain.

Orang ramai turut patuh pada arahan pengurusan pasar berkenaan yang menggunakan sistem giliran bernombor bagi mengehadkan pelanggan bagi satu-satu masa, sekali gus memastikan keadaan di dalam pasar tidak sesak.

Pekerja pengurusan pasar berkenaan turut dilihat turut menambah petak penjarakan sosial di setiap lot niaga pasar bagi memastikan pengguna terus mematuhi SOP walaupun ketika sedang membeli barangan.

Pelanggan pasar berkenaan, Shahrizal Mochamad, 31, berkata pengunjung di lokasi tumpuan awam kini sudah memahami sepenuhnya aspek penjarakan sosial yang perlu diamalkan di tempat awam.

"Kebanyakan pengguna kini sudah tahu apa yang perlu dibuat ketika ingin memasuki premis tumpuan ramai termasuk beratur dengan penjarakan sosial dan memakai pelitup muka.

"Ramai yang bimbang sebenarnya ketika berada di tempat tumpuan ramai tidak terkecuali saya dan akan memastikan supaya keselamatan diri terjamin, " katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata orang ramai kini perlu mengamalkan gaya hidup dengan norma baharu.

"Cuba elakkan diri daripada ke tempat yang ramai, tempat tertutup dan perhubungan jarak dekat namun jika ia perlu dilakukan demi memenuhi keperluan termasuk membeli barang atau bekerja, sentiasalah mengamalkan penjarakan sosial.

"Orang ramai juga perlu sentiasa menjaga kebersihan diri termasuk mencuci tangan dengan kerap serta menggunakan cecair pembasmi kuman sebagai langkah pencegahan, " katanya.

Vidyananthan berkata, sebanyak 2,218 premis di negeri ini sudah diperiksa dengan 26 notis penutupan dikeluarkan terhadap premis ingkar berikutan kegagalan mereka mematuhi SOP ditetapkan.

"Tindakan tegas diambil di bawah Seksyen 18(1)(f) , Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 terhadap premis yang disyaki boleh menyebabkan penularan COVID -19 kerana tidak mengamalkan langkah kawalan dan pencegahan seperti penjarakan sosial dan pemantauan saringan kesihatan di pintu masuk premis," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X