Ahad, 17 Mei 2020 | 3:17pm

34 daerah di Sarawak bebas COVID-19

KUCHING: Sebanyak 34 daripada 40 daerah di Sarawak kini dikategorikan sebagai zon hijau COVID-19, enam lagi berada dalam zon kuning manakala zon merah kini sifar selepas Kuching diisytihar sebagai zon kuning sejak dua hari lalu.

Daerah yang berada dalam zon hijau ialah Bau, Limbang, Bintulu, Miri, Simunjan, Asajaya, Sri Aman, Betong, Lawas, Mukah, Matu, Sarikei dan Saratok.

Turut berada dalam zon hijau ialah Pusa, Kabong, Lubok Antu, Meradong, Julau, Pakan, Kanowit, Selangau, Tatau, Sebauh, Dalat, Daro, Tanjung Manis, Kapit, Belaga, Song, Bukit Mabong, Marudi, Subis, Beluru dan Telang Usan.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, enam daerah yang berada dalam zon kuning pula ialah Kuching, Samarahan, Tebedu, Lundu dan Serian.

Sementara itu, beliau berkata sehingga hari ini sebanyak 26,992 permohonan pergerakan antara daerah diterima oleh 28 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negeri.

"Daripada jumlah kumulatif itu, sebanyak 25,237 permohonan diluluskan manakala 1,755 lagi ditolak kerana tiada alasan kukuh untuk bergerak antara daerah," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Sarawak menunjukkan petanda baik apabila mencatatkan sifar kes positif baharu COVID-19 untuk hari keempat berturut-turut, hari ini.

"Seramai empat pesakit pula disahkan sembuh dan discaj dari hospital hari ini dengan semuanya dari Hospital Umum Sarawak (HUS).

"Sehingga kini, seramai 432 pesakit disahkan sembuh, manakala kes kematian adalah seramai 17 orang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X