X
Sabtu, 23 Mei 2020 | 12:18pm

Maki ibu, ugut bunuh kakak sebab tak dapat duit

KEPALA BATAS: Berang tidak diberikan wang untuk membeli dadah, seorang lelaki memaki ibunya dengan perkataan lucah selain melakukan ugutan bunuh terhadap kakaknya dalam kejadian di Kampung Lembah, Penaga, di sini, petang semalam.

Pada kejadian jam 2.30 petang itu, suspek berusia 37 tahun meminta wang dari ibunya berusia lingkungan 60-an namun permintaannya tidak diendahkan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata suspek kemudian bertindak memaki ibunya dengan perkataan lucah.

"Kejadian itu didengari kakak suspek yang tinggal bersebelahan rumah lalu menegurnya namun berlaku pertengkaran mulut.

"Kakak suspek menghubungi polis kerana takut dan suspek diberikan nasihat oleh polis sebelum dia akur akan kesalahannya.

"Bagaimanapun, suspek bertindak mengugut mahu membunuh kakaknya sebaik polis beredar dan mencabar mangsa membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa terus membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatannya.

"Polis kemudian menahan lelaki itu pada jam 11 malam tadi untuk siasatan lanjut.

"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah," katanya

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Berita Harian X