Sabtu, 23 Mei 2020 | 1:36pm
Peniaga santan, Norlida Hasbullah, menyerahkan santan yang dipesan oleh pelanggan selain menyediakan bekas bagi memudahkan pelanggan membuat bayaran di Selangor Agro Market @ Pasar Segar Terkawal Khas Aidilfitri di Tapak Pasar Tani Seksyen 13. - Foto NSTP/Ruwaida Md Zain
Peniaga santan, Norlida Hasbullah, menyerahkan santan yang dipesan oleh pelanggan selain menyediakan bekas bagi memudahkan pelanggan membuat bayaran di Selangor Agro Market @ Pasar Segar Terkawal Khas Aidilfitri di Tapak Pasar Tani Seksyen 13. - Foto NSTP/Ruwaida Md Zain

Pengalaman baharu beli barang keperluan cara pandu lalu

SHAH ALAM: Tidak perlu beratur sambil berdiri dalam keadaan panas dan bersesak, hanya pandu lalu untuk membeli barang keperluan manakala ruang peniaga lapang membuatkan kaedah jual beli begitu teratur.

Itu antara pengalaman baharu pembeli dan peniaga di Selangor Agro Market @ Pasar Segar Terkawal Khas Aidilfitri di Tapak Pasar Tani Seksyen 13, di sini.

Kaedah yang kali pertama dilaksanakan itu menjadikan suasana pasar menjelang Aidilfitri tahun ini berbeza, berikutan penularan pandemik COVID-19.

Tinjauan di pasar terbabit mendapati, suasana tenang dan tiada jeritan tawar-menawar di setiap gerai jualan, memandangkan pembeli tidak dibenarkan 'walk in' sebaliknya hanya membuat pesanan barang yang ingin dibeli melalui dalam kereta.

Mereka dibantu peniaga yang sedia menanti di setiap gerai jualan seperti daging, ayam, sayur, santan dan pelbagai lagi keperluan penting untuk persiapan Aidilfitri.

Setiap sudut pula dikawal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), RELA serta turut dipantau kakitangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Bagi Izham Ibrahim, 34, yang datang sejak jam 7 pagi, berkata ini kali pertama melalui situasi baharu membeli dengan kaedah pandu lalu.

"Sebelum ini pun saya biasa datang membeli di sini, tetapi kali ini lain, tidak perlu keluar dari kereta dan berjalan, hanya pandu dan buat pesanan di gerai yang kita hendak beli sahaja," katanya.

Berbeza pula dengan Zafrida Zahrullayali, 41, yang terpaksa menunggu dua jam untuk tiba di gerai keperluannya.

"Saya tinggal di Taman Bukit Subang, biasa sekejap sahaja datang ke sini tetapi kali ini lama kena menunggu, lain-lain tiada masalah. Jika pasar pandu lalu diteruskan pada masa akan datang, mungkin pihak berwajib perlu mengambil kira pengurusan trafik," katanya.

Sementara itu, rata-rata peniaga yang ditemui mendapati pembeli datang dan beratur seawal jam 6 pagi bagi mendapatkan barang keperluan masing-masing.

Peniaga sayur, Amsyar Helmi, 29, berkata, ketika dia dan pekerjanya datang jam 6 pagi untuk membuat persiapan gerai, sudah banyak kenderaan beratur untuk masuk ke tapak pasar terbabit.

"Mereka pun datang awal macam kami yang datang membuat persediaan, menyusun barang jualan. Memang bagus cara ini, cuma kena bantu pelanggan seorang demi seorang dalam satu-satu masa, ini ambil sedikit masa," katanya.

Bagi peniaga santan, Norlida Hasbullah, 51, berkata berniaga pandu lalu itu mengurangkan kesesakan dan keadaan di gerai lebih mudah dikawal dan lapang.

"Cara ini bagus sebab kita dapat elak berlaku penipuan seperti pembayaran dengan wang palsu dan pelanggan tidak perlu berebut-rebut, mereka pesan dan kami bawa ke kereta dan sediakan bekas mengisi wang yang dibayar," katanya.

Peniaga daging, Ngali Selamat, 56 pula berpandangan, pembelian pandu lalu sistematik dan teratur namun masalah trafik mengganggu kelancaran pembeli yang terpaksa menunggu dan beratur panjang.

Berita Harian X