Sabtu, 23 Mei 2020 | 2:55pm

Pasar Besar Ipoh sesak, tapi terkawal

IPOH: Pasar Besar Ipoh sesak hari ini tetapi masih terkawal apabila menjadi tumpuan penduduk di bandaraya ini membeli barangan keperluan Aidilfitri.

Pengunjung mula menyerbu ke pasar besar itu seawal jam 6 pagi tadi untuk membeli barangan keperluan basah dan kering.

Peniaga ikan, Jasni Abd Jamal, 52, berkata pada mulanya dia agak bimbang melihat pengunjung masuk tanpa henti masuk ke dalam pasar itu.

"Awal pagi lagi pengunjung sudah mula menyerbu pasar ini untuk membeli barangan keperluan perayaan.

"Mulanya risau juga melihat suasana sesak dan pengunjung ada di setiap sudut, tetapi keadaan akhirnya reda apabila penguatkuasa tiba untuk memantau dan mengawal kemasukan pengunjung," katanya.

Namun, rata-rata pengunjung di pasar itu mendakwa tidak membeli saat akhir, sebaliknya hanya membeli barangan keperluan tambahan.

Pengunjung dari Taman Pengkalan Jaya, Maliza Mohd Tamin, 52, berkata, kebanyakan saudara-maranya tinggal di sekitar bandaraya dan hanya membuat persiapan raya ala kadar.

"Sesetengah barang masak sudah dibeli lebih awal dan hari ini hanya membeli barangan tambahan sahaja.

"Kalau hendak diikutkan tidak keluar rumah tetapi hari ini keluar sekejap ke pasar bersama anak-anak membeli sedikit sebanyak barangan keperluan untuk memasak semasa raya," katanya.

Pengunjung dari Desa Perpaduan, Mohd Fikri Hashim, 50, berkata dia selaku anak perantau yang bermastautin kerana bekerja di bandaraya itu hanya membeli persiapan raya secara sederhana.

"Sempena perayaan kali ini, saya hanya membeli barangan ala kadar dan memilih pasar ini kerana boleh mendapatkan daging segar dan banyak sayur-sayuran.

"Mengetahui keadaan berkemungkinan sesak, jadi saya memilih untuk datang ke pasar lewat sedikit untuk mengelak suasana sesak di awal pagi," katanya.

Suasana di Pasar Besar Ipoh yang mula terkawal. - Foto NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Suasana di Pasar Besar Ipoh yang mula terkawal. - Foto NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Berita Harian X