Ahad, 24 Mei 2020 | 12:52pm
Lima mangsa rentung dalam kebakaran di Kampung Binsuluk, Membakut, pagi tadi. - NSTP/Juwan Riduan
Lima mangsa rentung dalam kebakaran di Kampung Binsuluk, Membakut, pagi tadi. - NSTP/Juwan Riduan

Ibu, 4 anak rentung di pagi Syawal

MEMBAKUT: Seorang wanita bersama empat anak lelakinya rentung dalam kebakaran di Kampung Binsuluk di sini, awal pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Aishah Jumat, 58 dan empat anak lelakinya iaitu Dzulkarnain Othman, 34; Dzulnisham, 27; Rozaini, 26; dan Rosdi, 24.

Dalam kejadian itu juga, dua lagi anak mangsa masing-masing berusia 29 dan 25 tahun melecur serta dirawat di Hospital Beaufort.

Suaminya, Othman Ali, 64, bersama seorang lagi anak mereka berusia 31 tahun selamat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Kamarulzaman Malik Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada jam 2.54 pagi.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu dihantar ke lokasi kebakaran.

"Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang musnah sepenuhnya.

"Pasukan bomba berjaya menyekat dan mengawal kebakaran pada jam 5.50 pagi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan menemui lima mangsa rentung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Dua mangsa cedera dikejarkan ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba," katanya.

Berita Harian X